Abang bomba ikut isteri ke luar negara, dari tak pandai masak kini handal kendali dapur restoran di UK
BETUL kata pepatah, 'usaha tidak pernah mengkhianati hasil'.
Siapa sangka bermula sebagai anggota bomba, seorang lelaki warga Malaysia kini selesa bergelar tukang masak jauh di negara asing, United Kingdom (UK).
Menerusi perkongsian di Threads miliknya pokjang_uk, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Iezam berkongsi perjalanan kariernya daripada seorang anggota bomba kepada tukang masak kerana menemani isteri menyambung pengajian di luar negara.

Kongsi Iezam, perkara pertama yang bermain di kepalanya selepas mengambil keputusan untuk terbang ke UK bersama isteri, Fati Nabilah Azren dan anak-anak bukanlah tentang jalan-jalan teroka UK, tetapi soal kerja.
"Dekat sana nanti aku nak kerja apa?
"Aku bukanlah orang yang belajar tinggi sangat, kemahiran khas pun aku tak ada.
"Pengalaman kerja yang aku ada ketika itu hanyalah sebagai anggota bomba," kongsi Iezam atau nama sebenarnya Mohd Azizam Mansor.

Katanya, ketika itu dia merebut sahaja segala peluang yang ada, asalkan rezeki yang diraih halal untuk menanggung kehidupan keluarganya di sana.
Selepas kira-kira dua minggu tercari-cari pekerjaan sesuai, Iezam berkata dia diberitahu bahawa seorang pemilik restoran sedang mencari pembantu tukang masak di sebuah kedai di sana.
Lebih membuatkan dia teruja apabila mendapati kedai makan tersebut merupakan sebuah restoran yang menawarkan makanan khas dari Malaysia, dinamakan Kafe Kuala Lumpur.
"Dari situlah aku mula cari rezeki untuk isteri dan anak-anak sepanjang kami berada di UK.
"Sekarang sudah masuk tahun kelima kami di sini.
"Sedangkan orang lain mungkin dan lima atau enam kali bertukar kerja, aku masih lagi di sini (Kafe Kuala Lumpur)," katanya.
MENARIK DIBACA: Air berkarbonat dan buah laici naikkan rasa jus tembikai, bertambah ‘umph’ dengan perahan limau
MENARIK DIBACA: Hanya guna garam cara elak kelapa parut cepat tengik, boleh tahan sampai 3 bulan!
Berkongsi pengalaman sebagai tukang masak, bapa kepada tiga cahaya mata itu mengakui dia langsung tidak tahu memasak ketika itu.
"Aku datang sini langsung tak pandai masak.
"Aku 'start' sebagai pembantu tukang masak dan belajar siki-sikit. Tengok orang buat, tiru, cuba, silap dan baiki balik.
"Sampailah akhirnya dari pembantu aku jadi tukang masak. Kadang-kadang kita tidak tahu kemampuan sendiri," ujarnya.

Sepanjang lima tahun di Kafe Kuala Lumpur, Iezam sering berjumpa pelanggan terutama mereka yang pernah melancong ke Malaysia dan rindukan masakan tempatan.
"Paling buat aku terharu bila pelanggan yang pernah melancong ke Malaysia cakap mereka rindukan masakan Malaysia.
"Ada yang senyum, ada yang bercerita pengalaman mereka dan ada yang sebut makanan yang pernah mereka cuba.
"Bagi aku, kedai ini bukan sedar tempat mencari rezeki, tapi jadi tempat yang bawa balik rasa rindu pada Malaysia," katanya.

Bukan niat untuk berbangga dengan perjalanan hidup sendiri, Iezam sekadar mahu berkongsi tentang perancangan Allah SWT yang telah disusun baik untuknya ketika merantau ke negara orang.
"Dari anggota bomba ke dapur kedai makan di UK, aku tak pernah rancang hidup begini.
"Tapi Alhamdulillah, inilah antara cerita rezeki aku di perantauan," kongsinya.
Perkongsian Iezam turut mendapat perhatian pengguna di Threads apabila mendapat sehingga lebih 19,000 tanda suka.
Rata-rata berbangga, malah turut berkongsi rasa gembira melihat pengorbanan lelaki itu demi keluarga tercinta.