Teruja beli 'roti cantik', wanita terkejut keras tak boleh gigit! Ketahui keunikan 'non' Asia Tengah
KALAU anda bercuti ke negara-negara Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan atau Tajikistan, pasti pernah terlihat roti tradisional yang dikenali sebagai 'non' atau 'tandyr non'.
Roti berbentuk bulat dengan corak timbul yang cantik di bahagian tengah itu sememangnya akan mencuri perhatian pelancong.
Ditambah pula dengan harganya yang murah, ramai tak melepaskan peluang membelinya sama ada untuk dimakan atau dijadikan buah tangan.
Menerusi perkongsian seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Yana, dia mengaku teruja untuk membeli roti tersebut selepas melihat rupanya yang unik, apatah lagi harganya hanya sekitar RM1 selepas ditukar kepada mata wang Malaysia.

"Punya excited beli roti kat bazar sebab RM1 je bila convert dan nampak lawa. Dalam hati, confirm sedap ni!" ujarnya.
Bagaimanapun, sangkaannya meleset selepas suapan pertama apabila dia mendapati roti berkenaan begitu keras hingga sukar digigit.
"Sekali bila nak kopek… eh tak boleh. Bila gigit, keras nak mampus!
"Ingatkan masuk angin ke apa, rupanya memang macam tu gaya roti kat Central Asia," ujarnya menerusi hantaran di laman Threads.
Bagi yang tidak tahu, 'non' atau 'tandyr non' ialah roti tradisional yang diperbuat daripada tepung gandum, air, yis, garam dan kadangkala ditambah susu atau yogurt bergantung kepada resipi tempatan.
MENARIK DIBACA: Pelajar UPM cipta tepung biji durian, hasilkan roti Doughrian rendah karbohidrat
MENARIK DIBACA: Mesin pintar 'Bread for All' beri roti segar percuma 24 jam kepada individu memerlukan
Roti ini dibakar di dalam ketuhar tanah liat tradisional yang dikenali sebagai tandyr, iaitu sejenis ketuhar yang menggunakan haba sangat tinggi.
Ketika dibakar, doh akan dilekatkan pada dinding ketuhar sehingga menghasilkan bahagian luar yang lebih keras dan rangup, manakala tekstur bahagian dalamnya padat serta kenyal.
Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang berkongsi fakta menarik mengenai sejarah roti tersebut.
Menurut seorang netizen, teksturnya yang keras memang disengajakan atas alasan tertentu sejak zaman dahulu.
"Pernah tanya dekat lokal kenapa roti ni keras, katanya sebab roti ni dibuat untuk dibawa orang nomad, boleh tahan berbulan-bulan lamanya tanpa rosak.

"Keras supaya boleh dinikmati perlahan-lahan oleh orang yang membawanya," kongsi netizen itu.
Dalam masa sama, ramai turut menjelaskan bahawa roti tersebut sebenarnya tidak dimakan begitu sahaja seperti roti biasa.
Sebaliknya, ia lebih enak jika dipotong kecil dan disapu mentega atau jem, selain dicecah bersama sup tradisional, stew atau hidangan berkuah yang popular di Asia Tengah.
"Janganlah tak reti makan. Roti ni sedap, kena potong lapan atau 'slice'. Nama roti ni 'non'. Sedap gila makan dengan 'butter' yang sedap, jem atau makan dengan sup diaorang," tulis seorang lagi netizen.