KUALI | Trending

Ada kek belacan, hati pari... Kek lapis simbol kemeriahan Aidilfitri di Sarawak, wajib hidang atas meja

Lead Image

JIKA di semenanjung Malaysia, Aidilfitri pasti diserikan dengan aneka kuih muih tradisional mahupun moden, namun lain pula suasananya di Sarawak.

Di Bumi Kenyalang, masyarakat menjadikan kek lapis sebagai hidangan tradisi, malah antara juadah utama yang wajib terhidang atas meja pada pagi raya.

Pengusaha kek lapis, Adhar Brahim, 38, menjelaskan hidangan itu sudah menjadi sebahagian daripada budaya yang menggambarkan keunikan warisan masyarakat di Sarawak.

Kek lapis Sarawak terkenal dengan rupa yang berwarna-warni serta corak berlapis.

“Kek lapis sudah menjadi simbol identiti orang Sarawak di pagi raya. Kebanyakan daripada kami mesti akan hidang kek lapis, bukan sahaja Aidilfitri tetapi juga perayaan lain,” katanya kepada Kuali. 

Kek lapis Sarawak terkenal kerana berwarna-warni serta corak berlapis yang dihasilkan melalui proses pembakaran berperingkat. 

Setiap lapisan disusun dengan teliti, menjadikan kek ini bukan sahaja sedap dimakan, tetapi juga dari segi visualnya cukup cantik dipandang.

MENARIK DIBACA: Kek Lapis Sarawak RM1,800 terus dapat sambutan - "Kalau cinta, pasti takkan berkira"

MENARIK DIBACA: Rangup di tepi lembut di tengah, ini resipi kuih penyaram tradisi Sarawak

Apabila ditanya mengenai pilihan perisa dan corak, Adhar yang juga pemilik Abg K'ju Cake House menjelaskan masyarakat Sarawak lebih mengutamakan rasa berbanding rupa kek lapis.

“Kek lapis yang paling popular di Sarawak adalah kek 'legend' dulu-dulu. Contohnya kek lumut (pandan), kek hati pari (kismis, prun), kek belacan (coklat-Horlicks), kek batu marmar serta kek dandy (buah-buahan kering) atau kek buah,” ujarnya.

Walaupun harga kek lapis boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit, permintaannya tetap tinggi terutama menjelang Hari Raya. 

Kek lapis yang paling popular di Sarawak adalah kek 'legend' dulu-dulu.

ADHAR BRAHIM 

Pengusaha Kek Lapis

Bagi sesetengah individu, membeli kek lapis dianggap sebagai satu kemestian, manakala ada juga yang memilih untuk membuatnya sendiri di rumah mengikut kemampuan masing-masing.

"Kalau di sini normal orang beli kek lapis harga ratus-ratus, tetapi bergantung juga kalau mereka mampu dan ada masa, mereka buat sendiri di rumah," ujarnya.

Selain kek lapis, kemeriahan Aidilfitri di Sarawak turut diserikan dengan pelbagai hidangan unik lain termasuk manisan dan biskut raya.

Adhar memiliki perniagaan kek lapis sendiri iaitu Abg K'ju Cakehouse di Kota Semarahan, Sarawak.

“Di sini lain, kalau kuih seperti badak berendam atau koci, itu kami panggil kuih. Biskut raya wajib ada juga. Manisan seperti buah kering, kekacang dan keropok memang mesti ada.

"Sudah menjadi tradisi di sini juga untuk setiap rumah menghidangkan minuman berkabonat kepada tetamu yang datang," kongsinya lagi.

Tidak ketinggalan, hidangan tradisi seperti kelupis, iaitu pulut yang dibungkus seperti ketupat, sering dimakan bersama rendang dan menjadi pilihan utama masyarakat tempatan berbanding lemang atau ketupat seperti di semenanjung.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Menantu dedah kenapa dapur mentua dianggap 'gerun', nak masuk hati kena kental

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Lemang makan dengan sup... Ramai rupanya ubah sajian asli raya, pelik tapi katanya enak!

Terhangat