KUALI | Trending

Lemang makan dengan sup... Ramai rupanya ubah sajian asli raya, pelik tapi katanya enak!

Lead Image

SETIAP kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, hidangan seperti ketupat, lemang, rendang dan nasi impit sememangnya menjadi juadah wajib di setiap rumah.

Walaupun menu raya hampir sama, cara menikmatinya kadangkala berbeza mengikut tradisi setiap keluarga.

Ada yang mengekalkan cara hidangan turun-temurun manakala ada juga yang menikmatinya cara aneh dibandingkan dengan orang lain.

Perkara ini dikongsikan oleh netizen di laman Threads apabila seorang pengguna bertanya tentang tradisi melibatkan sajian raya yang lari dari kebiasaan.

Biasanya ketupat akan dikukus tapi uniknya jenis ini ia digoreng.

Pengguna tersebut memulakan perbincangan dengan berkongsi tradisi keluarganya makan ketupat cara agak unik, iaitu menikmatinya bersama susu pekat manis dan bukannya rendang atau kuah kacang.

“Apa tradisi raya korang yang mungkin pelik atau lain daripada orang lain?

"Saya mulakan dulu, makan ketupat dengan susu pekat bukan rendang,” kongsinya.

MENARIK DIBACA: ‘Food hunting’ kini lebih mudah, Grab-Tourism Malaysia bekerjasama senaraikan 'port' makan terbaik negara

MENARIK DIBACA: Cuaca tak menentu jejas jualan, ini cabaran peniaga bazar Ramadan

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Malah, ada juga yang bersetuju bahawa ketupat yang dicecah bersama susu pekat manis sebenarnya sangat enak.

Di ruangan komen, ramai turut mengambil peluang berkongsi tradisi raya unik dalam keluarga masing-masing.

Ramai belum pernah mencuba bihun goreng kuah laksa.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah tradisi ketupat goreng.

Menurut seorang pengguna, keluarganya akan menggoreng ketupat pada hari kedua atau ketiga raya selepas dikeluarkan dari kelongsong anyaman daun.

"Ketupat goreng! Hahaha masa kecil-kecil dulu hari raya ke 2-3 baru mak goreng ketupat tapi dekat rumah saya ketupat sentiasa 'dibogelkan'(keluarkan dari anyaman daun) dan digoreng!

“Pertama kali makan sebab ada orang bagi. Sumpah sedap sangat! Lepas ini rasa macam tak nak makan ketupat biasa lagi, nak yang goreng saja,” netizen berkongsi tentang ketupat yang digoreng.

Malah ada juga yang berkongsi perbezaan tradisi antara keluarga sendiri dan keluarga mentua.

Antara komen netizen di laman Threads.

Seorang pengguna berkata dalam keluarganya, nasi impit biasanya dimakan bersama rendang pada pagi raya, namun keluarga mentua pula lebih gemar menikmatinya dengan kuah kacang.

Tidak kurang juga kombinasi makanan yang benar-benar di luar jangkaan.

Seorang pengguna berkata keluarganya gemar makan bihun goreng bersama kuah laksa manakala seorang lagi mendedahkan bahawa di Negeri Sembilan ada yang menikmati lemang bersama sup daging ketika hari raya.

Walaupun ada yang menganggap kombinasi ini pelik, ramai netizen sebenarnya teruja dan mengakui hidangan-hidangan tersebut kedengaran cukup menyelerakan, sekali gus membuktikan setiap keluarga mempunyai cita rasa unik dalam menikmati juadah hari raya.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Ada kek belacan, hati pari... Kek lapis simbol kemeriahan Aidilfitri di Sarawak, wajib hidang atas meja

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Menu raya di Johor cuma ada lontong? Anak jati tampil bagi 'list' sajian sepanjang Syawal

Terhangat