Musim Harumanis kembali... Harga jualan bermula RM29 hingga RM49 sekilogram mengikut gred dan saiz
DURIAN merupakan buah-buahan bermusim paling popular yang dinanti-nantikan penggemarnya setiap tahun bermula dari Jun hingga September dengan kemuncak pengeluaran adalah pada bulan Julai.
Selain durian, rambutan juga tidak terkecuali menjadi antara buah bermusim dituai dua kali setahun dengan musim utama jatuh pada bulan Jun hingga Ogos, manakala musim kedua pula sekitar Disember hingga Januari.
Namun disebalik keterujaan menantikan kehadiran musim durian dan rambutan, terdapat satu lagi jenis buah-buahan bermusim yang dinanti-nantikan iaitu Harumanis yang biasanya bermula dari pertengahan Mac hingga Jun setiap tahun.

Walaupun Harumanis tidak diusahakan secara meluas di seluruh Malaysia kecuali Perlis, namun penggemarnya di seluruh negara masih berpeluang menikmati keenakan serta kemanisan mangga istimewa itu.
Menerusi perkongsian oleh Jabatan Pertanian Malaysia, pengeluaran mangga Harumanis khususnya di Perlis pada musim ini melonjak sehingga 2,963.32 tan metrik dengan sasaran jualan dianggarkan bernilai RM74.08 juta.
Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman berkata unjuran hasil lebih rancak itu membabitkan kawasan tanaman seluas 1,775.56 hektar diusahakan 2,631 individu di seluruh Perlis.
MENARIK DIBACA: Hujung Ramadan dah malas masak, mi segera goreng basah jadi penyelamat!
MENARIK DIBACA: Dah ikut segala tip ayam goreng tetap pucat, tak dapat warna keemasan... Di mana silapnya?
"Berdasarkan pemerhatian, pengeluaran Harumanis musim ini dijangka bermula pertengahan Mac hingga Jun. Namun, terdapat segelintir pengusaha yang mula menuai hasil seawal Januari lalu," ujarya.
Selain memiliki rasa khas dengan aroma yang wangi, Harumanis merupakan antara variati mangga premium Malaysia yang didaftarkan secara rasmi sebagai MA 128 di bawah seliaan Jabatan Pertanian Malaysia.
Keistimewaan Harumanis bukan semata-mata terletak pada rasanya yang mewah, tetapi juga karakter buah tersebut.
Walaupun kulitnya kekal hijau ketika matang, isinya berwarna jingga pekat dengan tekstur tebal, lembut serta aroma yang sangat harum.

Dengan rasa manis yang luar biasa, tidak hairanlah Harumanis menjadi antara buah bermusim paling dinantikan oleh penggemarnya setiap tahun.
Keunikan rasa ini turut dipengaruhi oleh faktor semula jadi seperti iklim panas dan kering semasa musim pembungaan serta perbezaan suhu siang dan malam yang membantu pengumpulan gula dalam buah.
Selain itu, pengusaha turut mengamalkan pengurusan ladang yang sistematik seperti teknik pembalutan buah, pemangkasan, pembajaan seimbang serta kawalan perosak bagi memastikan kualiti buah sentiasa terpelihara.
Untuk musim kali ini, harga jualan harumanis dari ladang di bawah pengurusan Jabatan Pertanian ditetapkan bermula dari RM29 hingga RM49 sekilogram tertakluk kepada gred buah.
