Tak semua premis boleh guna 'bufet Ramadan' dalam promosi, semak status halal
BERBAKI beberapa minggu sebelum bulan Ramadan, pasti ramai sudah mula mencari lokasi buffet Ramadan yang menarik untuk berbuka puasa.
Mana tidaknya, suasana meriah dengan pelbagai aneka juadah menggoda, menjadikan ia pilihan tepat untuk menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan.
Maka, tak hairanlah banyak hotel dan restoran mula memperkenalkan konsep buffet semata-mata untuk tarik pelanggan.
Tapi, tahukah anda tidak semua premis boleh guna istilah ‘buffet Ramadan’ atau ‘Iftar Ramadan’ sesuka hati dalam iklan promosi mereka?

Menurut perkongsian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), istilah tersebut hanya dibenarkan bagi pengusaha yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Ia bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan beragama Islam mengenai status halal sesebuah premis.
Antara istilah yang dilarang digunakan oleh premis yang tiada sijil halal termasuklah Bufet Ramadan
Set Iftar, Jom sahur, Jom berbuka puasa, Muslim Friendly dan Selera rasa Ramadan.
Jelas JHEAINS, premis yang masih degil menggunakan istilah berkenaan bakal berdepan tindakan undang-undang.
MENARIK DIBACA: Rasa enak, banyak pilihan makanan... Puas hati bayar bufet RM25 di Restoran Tanjung Puteri
MENARIK DIBACA: Senarai bufet Ramadan 2025... Ada banyak pilihan jika sesekali nak berbuka di luar
"Mengelirukan atau memperdayakan pengguna Muslim boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal ) 2011.
"Sabit kesalahan boleh didakwa sehingga RM500,000.00," tulisnya di laman Facebook.
Oleh itu, premis yang tiada Sijil Halal Malaysia disarankan menggunakan nama lain untuk promosi mereka, misalnya Sajian Warisan, Sajian Serantau atau Bufet Nusantara.
Dengan menggunakan istilah sedemikian, mereka masih boleh menarik pengguna Muslim dan pada yang sama tidak melanggar undang-undang.