KUALI | Trending

‘Popsicle’ dicipta kanak-kanak 11 tahun, 5 makanan popular ini pula terhasil tanpa sengaja

Lead Image

RAMAI tidak tahu sebenarnya terdapat beberapa makanan popular hari ini sebenarnya tercipta secara tidak sengaja.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal namun, itulah realiti sebenar apabila terdapat makanan terhasil bukan kerana dirancang atau melalui proses kajian bertahun-tahun.

Sebaliknya, makanan tersebut terhasil secara tidak sengaja tanpa dirancang, namun akhirnya menjadi makanan kegemaran ramai kerana rasanya yang lazat sehingga menjadi popular.

Malah jangan terkejut kerana ada antara makanan ini dihasilkan oleh kanak-kanak sehingga digemari ramai dan kekal hingga hari ini.

Jom Kuali kongsikan lima makanan yang wujud hari ini yang terhasil secara tidak sengaja.

Popsicle atau aiskrim batang dicipta secara tidak sengaja oleh seorang kanak-kanak bernama Frank Epperson.

1. Popsicle atau aiskrim batang

Pernah makan aiskrim batang atau juga dipanggil popsicle? Kalau nak tahu, popsicle sebenarnya dicipta secara tidak sengaja pada tahun 1905 oleh seorang kanak-kanak  lelaki berumur 11 tahun bernama Frank Epperson.

Pada awalnya, Epperson merancang untuk buat minuman soda, namun secara tidak sengaja dia tertinggal minuman tersebut di luar rumah.

Secara kebetulan cuaca pada malam itu sangat sejuk sehingga menyebabkan minuman soda tersebut menjadi beku.

MENARIK DIBACA: Guna 3 bahan sahaja, cef kongsi resipi udang goreng bersama durian

MENARIK DIBACA: [V] Bau dan aromanya buat perut berkeroncong, ini resipi ayam pedas daun kesum

Pada keesokan harinya, Epperson mendapati kayu yang digunakan sebagai sudu untuk mengacau minuman soda turut membeku di dalam bekas yang digunakan.

Epperson menarik keluar minuman yang telah mengeras itu lalu menjilatnya. Tidak sangka minuman soda yang telah membeku itu memiliki rasa yang sungguh sedap lalu menamakannya dengan panggilan 'Epsicle' dan menjualnya.

Pada tahun 1924, Epperson telah menfailkan paten aiskrim tersebut dan memberinya nama popsicle.

Biskut cip coklat pertama kali terhasil secara tidak sengaja oleh Ruth Wakefield pada tahun 1930.

2. Biskut cip coklat

Biskut cip coklat diketahui telah dicipta secara tidak sengaja oleh Ruth Wakefield pada tahun 1930.

Semuanya berlaku ketika Wakefield mahu menyediakan biskut untuk tetamu yang menginap di rumahnya.

Ketika sedang menyiapkan hidangan, Wakefield sedar bahan adunan untuk membuat biskut tidak mencukupi.

Dia kemudian mendapat idea untuk menabur bar coklat yang dipotong kecil-kecil di atas biskut dengan harapan coklat tersebut akan cair ketika dibakar lalu memberi rasa coklat pada biskut yang dihasilkan.

Bagaimanapun, coklat yang ditabur itu tidak cair sepenuhnya namun menjadi cip coklat. Tidak sangka, biskut yang dianggap gagal itu digemari tetamunya.

Semenjak itu biskut cip coklat mula tersebar di seluruh Amerika Syarikat dan disukai ramai.

Kon aiskrim dicipta menggunakan waffle yang digulung pada tahun 1904 oleh seorang penjual aiskrim bernama Arnold Fornachou.

3. Kon Ais Krim

Kon aiskrim telah dicipta oleh seorang penjual aiskrim bernama Arnold Fornachou pada tahun 1904.

Ketika sedang berniaga sewaktu musim panas, Fornachou telah kehabisan cawan plastik yang digunakan untuk menghidangkan aiskrim yang dijual.

Secara kebetulan, terdapat sebuah kedai pastri yang menjual waffle berada dekat dengan tempat Fornachou berniaga.

Fornachou telah meminta kedai pastri tersebut untuk membuat waffle yang digulung membentuk kon bagi menggantikan cawan plastik.

Tidak sangka, pelanggannya menggemari idea tersebut lalu terciptalah kon aiskrim yang ada pada hari ini.

Tofu yang diperbuat daripada susu soya terhasil daripada sebuah kemalangan di dapur oleh seorang tukang masak.

4. Tofu

Antara kisah popular mengenai tofu adalah tentang seorang tukang masak yang secara tidak sengaja menumpahkan cecair bernama nigari ke dalam sebuah bekas berisi susu soya.

Akibatnya, susu soya tersebut bertukar menjadi pepejal namun dengan tekstur yang lembut.

Tidak mahu membazir, tukang masak tersebut telah menghidangkan susu soya yang telah menjadi pepejal itu kepada pelanggannya.

Ternyata pelanggan menyukai hidangan tersebut. Sedar potensi serta keuntungan yang diperoleh, tukang makan itu terus menghidangkan makanan yang dikenali sebagai tofu kepada pelanggan.

Kini, tofu sering dijadikan pengganti daging bagi golongan vegetarian. Malah, makanan tersebut juga banyak digunakan dalam pelbagai jenis juadah terutama di bahagia Asia.

Kerepek kentang dicipta secara tidak sengaja oleh seorang tukang masak bernama George Crum pada tahun 1853.

5. Kerepek Kentang

Kerepek kentang tercipta secara tidak sengaja oleh seorang tukang masak bernama George Crum pada tahun 1853.

Pada satu hari, seorang pelanggannya telah memesan hidangan berasaskan kentang goreng. 

Malangnya, pelanggan tersebut tidak begitu menggemarinya hidangan yang disediakan kerana beranggapan kentang yang digoreng begitu tebal.

Tidak mahu mengecewakan pelanggannya, Crum kemudiannya menghiris kentang dengan potongan yang sangat nipis lalu menggorengnya sehingga rangup. 

Selepas meletakkan sedikit garam sebagai penambah perisa, Crum menghidangkannya hirisan kentang yang dipotong nipis tersebut kepada para pelanggan. 

Ternyata, mereka menggemarinya kerana kentang yang dihiris nipis memiliki tekstur rangup.

Kini, kerepek kentang boleh dikatakan antara makanan ringan paling popular di dunia.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Sanggup kena marah, asal dapat beli... Masih ingat 10 jajan popular era 90-an ini?

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Ramai ‘cancel order’ sebab tak puas hati, Khairul Aming tampil perjelas umum pemenang percutian New Zealand

Terhangat