Ramai ‘cancel order’ sebab tak puas hati, Khairul Aming tampil perjelas umum pemenang percutian New Zealand
HANYA disebabkan gagal memenangi percutian ke New Zealand, kecoh di media sosial kononnya ramai pembeli didakwa membatalkan pembelian produk Rendang Nyet Berapi milik usahawan Khairul Aming.
Hal itu terjadi disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan proses pemilihan pemenang yang dianggap diumumkan terlalu awal iaitu sebaik sahaja sesi jualan berakhir pada malam Khamis lalu.
Tampil menjelaskan perkara itu, Khairul, 33, berkata, pengumuman pemenang dibuat sejurus selepas jualan bagi menghormati masa pembeli yang telah memberi sokongan.
Tambahnya, jika keputusan berkenaan ditangguhkan, pihaknya bimbang wujud tuduhan jahat atau sebarang keraguan dari pelbagai pihak meskipun pemilihan dibuat secara telus.

"Saya tak nak aniaya masa orang. Kalau senarai pemenang dah ada kat tangan, saya kena announce terus untuk hormat masa orang yang datang support saya.
"Lagi satu kalau saya announce seminggu lambat, orang akan cakap pemenang tu mungkin pakai cable. Jadi akan ada keraguan di situ.
"Kalau KA (panggilan Khairul) tak umum terus, dan awak tunggu parcel sampai baru KA announce, itu dah jadi macam lucky draw. KA bukan buat cabutan bertuah, KA buat lima pelanggan terpantas," katanya.
Khairul menjelaskan perkara itu menerusi hantaran di laman Thread pada petang Isnin.
MENARIK DIBACA: Ahli farmasi tegur wanita gemar minum matcha, boleh jadi sebab kitaran haid tidak teratur
MENARIK DIBACA: 100,000 pek Rendang Nyet Berapi ‘sold out’, raih RM1.8 juta jualan
Berlapang dada menerima perkara itu, Khairul menyifatkan pembatalan pembelian itu sebagai lumrah dalam berniaga.
Jelasnya, dia pemberian hadiah yang dianjurkan adalah sebagai tanda penghargaan dan bukannya strategi untuk melariskan jualan.
"Tapi ramai ke yang cancel order? Sebenarnya tidak, sedikit sahaja dan benda ini normal sebenarnya setiap kali pelancaran. Semua penjual hadap benda sama.
"Kalau ada yang batal pesanan sebab tak menang giveaway, KA okay je dia buat macam tu sebab mungkin dia nak guna duit itu untuk benda lain yang lebih penting.
“Giveaway ni KA buat sebagai hadiah untuk followers KA," jelasnya.

Sementara itu, Khairul juga percaya pasukannya telah melakukan sehabis baik memberikan perkhidmatan dan produk berkualiti kepada semua pelanggan.
"Ramai yang dah dapat dah parcel dari semalam. Team KA tingkatkan efficiency dalam tiga hari kita sudah selesai semua pengeposan.
"Saya nak berniaga lama dan sangat pentingkan keberkatan berniaga, kepuasan pelanggan dan kualiti produk kita keluarkan. Semoga perniagaan dan jual beli kita semua diberkati," ujarnya.
Pada malam Khamis lalu, Khairul mencipta sejarah apabila berjaya menjual 100,000 pek Rendang Nyet Berapi dalam masa 30 saat sekali gus mencatatkan jualan sebanyak RM1.8 juta.