Petah berbicara kendali program masakan, peluang mengacara kikis sifat pemalu Chef Naem
SIAPA tidak kenal dengan figura bernama Naem Ramli? Dengan perwatakan bersahaja dan petah berkata-kata ketika mengacarakan program masakan menjadikan lelaki berstatus cef selebriti itu disenangi ramai.
Jika sudah membuka mulut, lelaki berusia 34 tahun itu memang susah untuk berhenti.
Setiap butir kata yang keluar daripada mulutnya ibarat air yang mengalir lancar tanpa halangan.
Namun hakikatnya, Naem atau nama lengkapnya Muhammad Naim Ramli dahulunya bukanlah lelaki yang dilihat seperti hari ini.
Sebelum melangkahkan kaki dalam industri sebagai pengacara program masakan, Naem yang memulakan kerjaya sebagai cef di dapur hotel merupakan seorang pemalu dan pendiam.

Perwatakan juara program Hero Oven 2016 itu memang jauh berbeza, malah dia sendiri tidak menyangka akan bergelar pengacara dan bercakap tanpa henti di hadapan kamera seperti hari ini.
“Apa yang penonton lihat sekarang, memang berbeza dengan diri saya 10 tahun lalu. Sebelum ini saya sangat introvert (tidak banyak cakap).
“Selepas menjuarai program Hero Oven pada 2016, saya ambil keputusan berat meninggalkan bidang perhotelan untuk mencuba nasib dalam dunia penyiaran sebagai pengacara program masakan.
“Itu bukan suatu keputusan mudah sebab saya memang tidak pandai bercakap, apa lagi untuk berinteraksi dengan kamera,” kata Naem kepada Kuali.
MENARIK DIBACA: Hanya makanan tempatan dihidangkan di majlis rasmi kerajaan - PM
MENARIK DIBACA: [V] Sharifah Sakinah tak reti masak, fobia rumah hampir terbakar sebab goreng telur
Namun, Naem berpandangan peluang sebegitu mungkin hanya hadir sekali dalam seumur hidup, selain mahu menyahut cabaran melakukan sesuatu perkara baharu walaupun terpaksa mempertaruhkan masa depannya sendiri.
“Saya beri peluang kepada diri sendiri selama setahun iaitu dari 2017 hingga 2018. Kalau gagal, saya akan kembali sebagai tukang masak di hotel.
“Saya belajar sendiri melalui YouTube cara untuk berkomunikasi di hadapan kamera. Lama kelamaan, saya mula berubah daripada seorang pemalu kepada lelaki yang susah hendak berhenti bercakap kalau sudah membuka mulut,” katanya.
Disaat dirinya mula perlahan-lahan merangkak dalam industri, Naem diuji sehingga dia merajuk dan tekad untuk meninggalkan bidang penyiaran dan kembali kepada kehidupan lamanya di dapur hotel.
Kata Naem, selama enam bulan dia membawa diri kerana penat selepas menjadi mangsa tuduhan perkara mengaibkan yang tidak pernah dia lakukan.

Semuanya gara-gara tersebar foto dalam media sosial memperlihatkan seorang lelaki mirip seperti dirinya dalam keadaan berbogel.
“Saya pernah merajuk dan menghilangkan diri sekitar tahun 2018 selepas dikecam hebat.
“Saya penat, sedih dan sangat terkilan sehingga membulatkan tekad untuk meninggalkan industri. Bertubi-tubi saya disoal dan dituduh sehingga dipanggil pihak TV untuk memberikan penjelasan.
“Ketika itu saya masih lagi boleh dikatakan baharu dalam industri dan tidak tahu untuk menepis tuduhan sebegitu. Maka saya tekad untuk membawa diri kerana sudah penat dengan tuduhan tersebut,” katanya sambil ketawa mengenang semula perkara tersebut.
Tapi takdir tuhan, bila dah tertulis rezeki, larilah macam mana pun, rezeki tidak akan ke mana.
Saya pernah merajuk dan menghilangkan diri sekitar tahun 2018 selepas dikecam hebat.
Chef Naem
Cef Selebriti
Selepas berbulan-bulan menghilangkan diri dan tidak menjawab sebarang telefon, suatu hari ada panggilan masuk dan Naem tidak sengaja terjawab panggilan tersebut.
“Rupanya orang produksi telefon untuk tawarkan saya mengendalikan sebuah program masakan selama sebulan di Australia dengan bayaran agak lumayan.
“Kebetulan pula ketika itu saya dalam perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Selepas memikirkan peluang yang diberikan, saya akhirnya bersetuju dengan tawaran tersebut dan kembali dalam industri sehingga hari ini,” kata pengasas restoran Ngam Pizz itu.
Naem percaya minat merupakan perkara paling penting untuk seseorang cef itu berjaya dalam bidang yang diceburi berbanding bakat yang boleh diasah.

Sempat berkongsi lima perkara yang perlu ada dalam diri seorang tukang masak, anak jadi Gombak, Selangor itu menetapkan lima elemen penting untuk seseorang itu bergelar seorang cef.
“Lima perkara yang perlu ada dalam diri seorang cef ialah disiplin, kemahiran, perasaan ingin belajar, selalu curi ruang dan peluang serta sentiasa mahu majukan diri.
“Kesemua elemen ini perlu ada dalam diri seseorang untuk bergelar seorang cef. Namun antara kelima-lima perkara ini, minat adalah paling utama dan akan menentukan seseorang itu berjaya atau tidak.
“Kerana bagi saya, kalau ada minat kita akan berasa gembira dan bersungguh-sungguh untuk lakukan sesuatu perkara,” kata lepasan diploma kulinari dari Taylor's University itu.