Kerajaan putuskan epal, oren tidak dikenakan SST

PENGGEMAR buah epal dan oren boleh menarik nafas lega selepas dua jenis buah-buahan import tersebut dikecualikan daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas diputuskan jemaah menteri yang dipengerusikannya pada Rabu.
"Masih ada orang mengeluh, katanya orang kampung, orang miskin hendak juga makan epal dan dia kata ini orang dulu kata an apple a day keeps the doctor away, tak betul itu, ia a banana sebenarnya, sebab pisang potasiumnya tinggi.
"Jadi, semalam kita putuskan beri kelonggaran import buah-buahan, memang ada sedikit cukai tetapi dikecualikan epal dan oren," katanya.

Anwar memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19 di Putrajaya pada Khamis.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kerajaan akan meneliti semula peluasan SST
Ujarnya, memandangkan buah-buahan itu diimport sepenuhnya dari luar negara, cadangan untuk mengenakan SST antara lima hingga 10 peratus perlu diteliti semula.
MENARIK DIBACA: Jangan harap pada Tongkat Ali saja, tiram dan kacang badam boleh bantu masalah tenaga batin
MENARIK DIBACA: [V] ‘Port’ makan wajib di Ipoh, Miker Food destinasi pilihan kaki ‘food hunting’
Mengulas lanjut, Anwar berkata, nilai ambang SST bagi buah-buahan berkenaan juga dinaikkan dari RM500,000 kepada RM1 juta.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.