[V] Elly Mazlein tukang masak nombor ‘syatu’, setiap hari ke dapur walaupun sibuk
JADUALNYA mungkin padat namun artis serba boleh Elly Mazlein tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan dapur rumahnya tidak berasap.
Sebaliknya kata Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, dia tetap akan mencuri masa memasak untuk suami dan dua anaknya.
Kata Elly dia tidak terbeban dengan tugas itu sebaliknya gembira dapat menyediakan air tangan sendiri buat keluarga meskipun sibuk dengan tugas sebagai penyampai radio, pengacara, penyanyi dan pelakon.
"Suami dan anak-anak suka dengan air tangan saya. Jadi saya tetap akan cari masa untuk memasak di rumah. Saya pula memang suka memasak.

"Setakat ini hari-hari saya masak. Saya berada di konti sebagai penyampai radio pada waktu pagi hingga tengah hari. Kalau mengacara pula selalunya waktu petang.
"Jadi tidak ada alasan saya tidak sempat memasak di rumah," katanya kepada Kuali.
Dalam pada itu, Elly juga bersyukur kerana suaminya, Mohamad Azlan tidak cerewet soal makan dan menggemari semua hidangan disediakan.
Malah kata Elly, Azlan juga tidak kekok membantunya memasak di dapur malah mengambil alih tugas itu sekiranya dia terlalu sibuk dengan kerja.
MENARIK DIBACA: [V] Susah nak dapat masakan kampung di Singapura, Hanna Delisha cukup gemar ikan patin tempoyak dan budu
MENARIK DIBACA: ‘Popsicle’ dicipta kanak-kanak 11 tahun, 5 makanan popular ini pula terhasil tanpa sengaja
"Suami saya sangat memahami. Kalau saya sibuk, dia akan bantu saya memasak.
"Kadang-kadang kami akan masak sama-sama di dapur dan itu membuatkan saya cukup teruja.
"Alhamdulillah suami pun tidak cerewet. Apa yang saya masak, dia akan makan," kata ibu kepada Putri Sara Sefhia, 9 dan Haider Mateen, 4.

Pelantun lagu Usah Ditambah Bara Tersimpan itu mendedahkan suaminya amat menggemari masakan tomyam putih, kari dan asam pedas air tangannya.
"Suami sebenarnya suka dengan makanan dari Pantai Timur seperti nasi kerabu dan singgang.
"Tapi kalau masakan air tangan saya, dia suka tomyam putih, kari dan asam pedas.
"Kita pula tukang masak nombor syatu (satu)," katanya berseloroh.