Ayam kukus kicap halia lauk ringkas tapi enak, tak makan dengan nasi pun 'layan'
ADA masanya, lauk yang ringkas pun sudah cukup membuka selera dan salah satu contoh apabila ayam hanya dimasak bersama kicap dan halia.
Resipi ayam kukus kicap halia ini semestinya menggunakan bahan yang mudah didapati dan cara penyediaannya tidak rumit.
Malah, sajian ini dikatakan sedap diratah tanpa perlu nasi.
Menurut perkongsian @itskewlkiwee menerusi laman Threads, ayam yang dimasak dengan cara ini menjadi antara sajian kegemaran suaminya.
“Kalau dah begini gayanya, nasi tak payah masak pun tak apa. Suami lagi suka ratah je,” ujarnya.
Sebelum dimasak, rendam ayam dalam air yang ditambah sedikit cuka dan garam untuk membantu mengurangkan bau hanyir.

Bahan-bahan
- Ayam, boleh guna mana-mana bahagian
- Daun sup
- 2 inci halia
- 2 sudu besar tepung jagung
- 3 sudu besar kicap cair
- Cendawan shiitake secukupnya
- Sedikit minyak
- 500ml air
MENARIK DIBACA: Jemur dulu cendawan kalau mahu vitamin D ekstra, jimat wang beli suplemen
MENARIK DIBACA: Mantap cendawan goreng petai, aromanya buat perut kenyang jadi lapar
Cara penyediaan
- Susun ayam di dalam periuk. Masukkan halia yang dipotong besar, sedikit minyak, tepung jagung dan kicap cair. Gaul sehingga sebati.
- Perap ayam selama kira-kira 30 minit.
- Rendam cendawan shiitake sehingga kembang, kemudian potong mengikut saiz yang sesuai.
- Masukkan cendawan ke dalam periuk bersama ayam. Tambahkan sedikit lagi tepung jagung dan gaul rata.
- Tuangkan 500ml air ke dalam periuk dan tutup rapat.
- Masak menggunakan api kuat selama kira-kira 25 minit sehingga ayam masak sepenuhnya.
- Setelah siap, taburkan daun sup dan hidangkan. Sedap dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja.