[V] Jatuh cinta keenakan puding roti dibuat rakan, rupanya resipi Khairul Aming
KALAU ada roti lebihan di rumah dan sudah hampir tamat tempoh, jangan terus dibuang.
Apa kata buat saja puding roti mudah dan sedap untuk dinikmati seisi keluarga.
Seorang wanita berkongsi semula resipi puding roti yang dipelajari selepas menikmati hidangan tersebut ketika menghadiri kenduri di rumah rakannya.
Menurutnya, dia tidak menyangka pencuci mulut itu begitu sedap sehingga menambah sajian itu sebanyak tiga kali.
"Hari tu pergi kenduri rumah kawan, dia buat puding roti ni sedap sangat.
"Saya tambah tiga kali. Bila tanya resipi, rupanya kawan saya ikut resipi Khairul Aming. Boleh buat makan petang, tak perlu beli dah," kongsinya.

Bahan-bahan
Puding roti
- 2 cawan susu segar
- 1/2 cawan gula perang
- 1 sudu kecil esen vanila
- 2 biji telur
- Secubit serbuk kayu manis
- Secubit garam
- 1 sudu besar mentega
- Roti sandwich
- Cip coklat secukupnya
Sos kastard
- 1 tin susu cair
- 1/2 cawan air
- 2 sudu kecil gula
- 2 sudu kecil tepung kastard
MENARIK DIBACA: Selera menurun seiring peningkatan usia, ada cara bangkit nafsu makan orang tua
MENARIK DIBACA: Nenek 100 tahun jadi bintang mukbang, video makan ketam buat netizen kagum
Langkah penyediaan
Puding roti
- Masukkan susu segar, gula perang, esen vanila, telur, serbuk kayu manis dan garam ke dalam mangkuk. Gaul sehingga sebati.
- Tuangkan campuran tersebut ke dalam periuk dan panaskan menggunakan api sederhana.
- Masukkan satu sudu besar mentega dan kacau sehingga sebati.
- Sementara itu, carikkan roti sandwic dan masukkan ke dalam bekas yang sesuai untuk dibakar.
- Taburkan cip coklat di atas roti.
- Siramkan sebahagian campuran susu tadi ke atas roti.
- Tambahkan beberapa keping roti lagi dan ulang langkah menabur cip coklat serta menyiram campuran susu sehingga bekas penuh.
- Tekan roti menggunakan sudu supaya lebih padat dan taburkan cip coklat di bahagian atas.
- Biarkan roti selama kira-kira 15 minit supaya campuran susu meresap dengan baik.
- Bakar pada suhu 180 darjah Celsius selama kira-kira 45 minit atau sehingga bahagian atasnya masak dan sedikit garing.
Sos kastard
- Masukkan susu cair, air, gula dan tepung kastard ke dalam mangkuk.
- Kacau sehingga semua bahan sebati dan tepung kastard tidak berketul.
- Tuangkan campuran ke dalam periuk dan panaskan.
- Kacau secara berterusan sehingga sos mendidih dan menjadi pekat.
- Tutup api dan ketepikan.
- Setelah puding roti masak, taburkan gula aising di atasnya dan hidangkan bersama sos kastard.