Resipi cepat dan mudah, sambal tempoyak petai ikan bilis pembuka selera ketika berbuka puasa
KEDATANGAN bulan puasa tidak lama lagi pasti ramai sudah terfikir menu yang ingin dimasak ketika berbuka dan sahur.
Biasanya mak-mak memang akan cari resipi mudah tetapi menyelerakan buat disantap seisi keluarga.
Jangan pening-pening, apa kata cuba resipi sambal tempoyak petai ikan bilis. Masakan ringkas tetapi boleh buat bertambah nasi.
Paling penting cara penyediaannya bukan sahaja mudah tetapi ia antara menu pembuka selera dan paling penting tahan lama.
Kuali kongsikan resipinya yang boleh dicuba ketika bulan Ramadan nanti.
MENARIK DIBACA : Kena cuba resipi cucur durian, sekali rasa memang buat ketagih
MENARIK DIBACA : Resipi ayam percik guna oven, sama sedap macam beli dekat pasar malam!
Bahan-bahan:
- 200g ikan bilis (dibersihkan)
- 200g isi petai (kira-kira lima papan petai)
- 3 sudu besar tempoyak
- 1 biji bawang besar (dihiris)
- Minyak masak (secukupnya)
- Garam (secukup rasa)
- Gula (secukup rasa)
Bahan kisar:
- 3 tangkai cili merah
- 10-15 tangkai cili padi
- 6 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
Langkah penyediaan:
- Goreng ikan bilis sehingga separuh masak. Tos dan ketepikan.
- Goreng petai sehingga layu. Ketepikan.
- Dalam kuali dan minyak yang sama, tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan bawang bersama tempoyak yang dibancuh sedikit air. Kacau sehingga larut.
- Masukkan ikan bilis dan petai yang telah digoreng.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kecilkan api dan kacau perlahan sehingga sebati. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
