Guna tip balut tisu... Timun dalam peti sejuk tahan lebih lama, kekal rangup
TIMUN antara sayur sayuran yang sering digunakan dalam pelbagai hidangan, sama ada dimakan begitu sahaja, dijadikan ulam mahupun bahan tambahan dalam masakan.
Walau disimpan di dalam peti sejuk, timun mudah hilang kesegarannya apabila terdedah pada kelembapan berlebihan atau suhu yang tidak sesuai, mengakibatkan ia menjadi lembik dan cepat rosak.
Bagi mengelakkan timun terbuang begitu sahaja, terdapat tip mudah yang boleh diamalkan untuk membantu mengekalkan kesegarannya iaitu menggunakan tisu dapur sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
Berikut adalah tip menyimpan timun supaya kekal segar dan tahan selama beberapa hari seperti dikongsikan akaun TikTok Kak Wani.Tip Dapur Jimat Masa.

1. Basuh hingga betul-betul bersih
Basuh timun di bawah air mengalir untuk buang kotoran, pasir dan sisa racun yang melekat pada kulit. Langkah ini penting supaya timun tidak cepat rosak semasa disimpan.
2. Keringkan timun sepenuhnya
Gunakan tisu dapur atau kain bersih untuk mengeringkan timun. Pastikan tiada air yang tertinggal kerana air berlebihan boleh menyebabkan timun cepat lembik dan berair.
MENARIK DIBACA: Terhibur tengok gelagat Jebat Jayden nikmati timun, bawang dan kicap - "Nak jaga badan"
MENARIK DIBACA: Timun sejuk, rangup inti protein enak... Snek sedap untuk diet, sukar nak tolak
3. Balut dengan tisu kering
Balut satu persatu timun menggunakan tisu kering. Tisu ini berfungsi menyerap kelembapan berlebihan dan membantu timun kekal segar lebih lama.
4. Masukkan dalam bekas bertutup atau plastik zip
Simpan timun yang telah dibalut ke dalam bekas bertutup atau plastik zip. Pastikan ia tidak terlalu ketat supaya pengudaraan masih ada.

5. Simpan di bahagian sayur
Letakkan timun di bahagian sayur (chiller), bukan di tempat paling sejuk. Suhu terlalu sejuk boleh menyebabkan tekstur timun cepat rosak.
Timun mengandungi lebih kurang 95 peratus kandungan air. Sebarang perubahan suhu atau kelembapan berlebihan boleh menyebabkan struktur selnya mudah pecah lalu menjadi lembik dan berair.
Menyimpan timun bersama buah-buahan yang membebaskan gas etilena seperti tomato, epal dan pisang juga akan mempercepatkan proses kemerosotan tekstur timun sekali gus menyebabkan timun cepat berair dan lembik.