Tumis tomato dulu baru masuk bawang rahsia dapatkan rasa 'MSG' semula jadi
MAK-MAK biasanya mementingkan langkah menumis bawang sehingga betul-betul naik bau sebagai rahsia untuk menghasilkan masakan lebih sedap.
Bagaimanapun, seorang pengguna Threads dikenali sebagai Hanim Mahali berkongsi satu petua yang agak berbeza daripada kebiasaan untuk menjadikan rasa masakan lebih 'terangkat'.
Menurutnya, tomato perlu ditumis sehingga hancur terlebih dahulu sebelum bawang dimasukkan.
“Ni rahsia masakan lebih sedap tanpa MSG proses. Tumis tomato sampai hancur.

“Insya-Allah masakan akan lebih sedap. Sebabnya haba membebaskan asid glutamat, iaitu natural MSG yang buat masakan rasa umami dan pekat,” katanya.
Tomato sememangnya mengandungi glutamat secara semula jadi yang boleh menyumbang kepada rasa umami dalam makanan.
Apabila tomato dimasak sehingga hancur, rasanya menjadi lebih pekat dan sebati dengan bahan-bahan lain.
Bukan itu sahaja, pengguna tersebut turut mendakwa menumis tomato bersama minyak mempunyai manfaat tambahan kerana likopena dalam tomato lebih mudah diserap oleh badan apabila dimakan bersama lemak.
MENARIK DIBACA: Ramai jauhi MSG, realitinya kandungan natrium lebih rendah dari garam
MENARIK DIBACA: Mentua 'anti' MSG, menantu 'seludup' dalam diam! Setiap kali masak dapat pujian melambung
“Lagi 'best' bila ditumis dengan minyak, antioksidan lycopene dalam tomato makin senang badan kita nak serap.
“So bukan je makin sedap tapi makin berkhasiat,” katanya.
Petua ini juga dikatakan sesuai untuk pelbagai jenis masakan dan bukan sekadar hidangan berasaskan tomato.

Antaranya masak kicap, kari, sayur tumis, kuah pasta, sambal berlada malah sambal nasi lemak.
Jadi, kalau selama ini bawang menjadi bahan pertama yang masuk ke dalam kuali, apa kata cuba ubah sedikit cara memasak.
Tumis tomato sehingga hancur terlebih dahulu, kemudian masukkan bawang dan teruskan proses memasak seperti biasa.
Mana tahu, cara mudah ini boleh buat rasa masakan lebih pekat dan umami.