Pertama kali buat, pavlova jadi liat! Geng 'baker' kongsi tip, ramai kata silap 'set' suhu
PAVLOVA antara pencuci mulut yang nampak mudah untuk dibuat, tetapi hakikatnya memerlukan teknik, kemahiran dan ketepatan tertentu bagi mendapatkan tekstur sempurna.
Jika tersilap sukatan, suhu atau tempoh membakar, hasilnya boleh jauh tersasar daripada diharapkan.
Masalah itu turut dialami seorang individu dikenali sebagai Anis Shalihudin yang meminta pandangan pembuat kek atau baker di Threads selepas pavlova dihasilkannya menjadi liat.
"Baker to baker, bagi tip sikit kenapa pavlova saya liat pula.

"Timing mix sembilan minit, gula fully hancur. Tempoh bakar satu jam 30 minit pada suhu 130 darjah Celsius.
"Sejukkan semalaman dalam oven. Okey, jom bincang," tulisnya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai pembuat kek yang tampil berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman masing-masing.
Antara perkara paling banyak disentuh adalah penetapan suhu 130 darjah Celsius yang dilihat agak tinggi untuk menghasilkan pavlova.
"Tinggi sangat tu 130 darjah Celsius. Saya punya suhu 110 darjah Celsius hingga 120 darjah Celsius selama 90 minit.
"Kalau saya, pavlova mini ni suhu 100 darjah Celsius sahaja, bakar selama 90 minit. Cool down semalaman pun tak ada masalah.
"Overbake agaknya. Saya tengok suhu macam agak tinggi. Biasa saya pun guna oven konvensional suhu 100 darjah Celsius selama 90 minit," komen beberapa pengguna.
Ada juga yang mencadangkan supaya individu itu merendahkan suhu dan memanjangkan tempoh membakar bagi mengelakkan pavlova menjadi terlalu keras atau liat.
MENARIK DIBACA: Buah tak rosak, tahan berbulan-bulan... Ini cara unik orang Afghanistan simpan anggur!
MENARIK DIBACA: 5 menu bajet pilihan rakyat Malaysia ketika poket kering, kenyang tanpa belanja besar
"Suhu tinggi. Cuba 100 darjah Celsius hingga 110 darjah Celsius, maksimum bakar selama 100 minit. Kalau kek pula 120 minit. Biarkan sejuk dalam oven sejam, baru boleh buka pintu oven.
"Saya bakar pada suhu 80 darjah Celsius selama satu jam 30 minit.
"Liat biasanya overbake. Boleh turunkan suhu kepada 120 darjah Celsius.
"Oven konvensional ke tu? 130 darjah Celsius agak tinggi untuk pavlova. Rendahkan suhu, tingkatkan masa," tulis pengguna lain.
Selain suhu dan tempoh membakar, seorang pengguna turut berpendapat susunan adunan ketika dipaip mungkin mempengaruhi hasil akhir.

"Saya rasa piping tu macam rapat sangat, tak banyak ruang untuk pavlova mengembang. Suhu pun agak tinggi," dia memberikan pandangan.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung membuka ruang perbincangan mengenai teknik menghasilkan pavlova yang rangup di luar tetapi masih lembut dan sedikit kenyal di bahagian dalam.
Bagi individu yang pertama kali cuba membuat pavlova, perkongsian pengalaman daripada pembuat kek lain amat membantu dan boleh dijadikan panduan.
"Kalau liat maksudnya tak letak gula mencukupi," komen netizen lagi.