Sama ada jenis segar, peram atau dalam tin... Ini tip berkesan cuci rebung, hilang masalah bau
REBUNG menjadi antara bahan masakan yang digemari ramai, lebih-lebih lagi apabila dimasak bersama cili api, daging atau perut.
Bagaimanapun, ada juga yang kurang gemar mencampurkannya dalam masakan kerana bau yang agak kuat terutama bagi rebung yang diperam atau dijual dalam tin.
Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang wanita tampil bertanyakan pendapat tentang cara menghilangkan bau hancing rebung.
"Basuh rebung kena basuh dengan tepung ke? Sebab ada bau tak sedap juga kan?" tulisnya.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang masing-masing tampil berkongsi petua berdasarkan pengalaman sendiri.

"Kalau rebung cincang yang diperam tu kena ramas kuat-kuat, bilas, ramas lagi sampai hilang bau dan rasa masin. Nak masak kena kecutkan betul-betul. Tapi rebung ni lagi sedap masak cili api daripada rebung madu. Letak petai, pedas-pedas campur daging atau perut, memang padu.
"Rendam dengan air basuhan beras, letak sedikit garam. Saya lagi suka rebung yang dah direndam lama berbanding yang baru.
"Kalau saya, rebung segar saya rebus letak sedikit gula. Bila dah mendidih, buang air rebusan kemudian rebus semula dengan air baru. Ulang dua hingga tiga kali, insyaAllah hilang bau rebung tu," antara perkongsian warganet.
Terdapat juga sebahagian netizen mengakui menggunakan tepung gandum sebagai salah satu cara untuk mengurangkan bau rebung.
"Boleh. Untuk kurangkan bau, saya memang basuh rebung dengan tepung gandum. Rendam dalam 15 minit kemudian bilas dan boleh masak macam biasa. Rebung akan kurang berbau," kongsi salah seorang warganet.

Tidak kurang juga yang menggunakan air kelapa ketika proses merebus.
"Rebus dengan air nyiur (kelapa), letak garam, letak gula, masuklah perasa sikit. Nanti bila nak masak, basuh dan terus masak," kongsinya.
Sementara itu, beberapa netizen menjelaskan bahawa rebung segar kebiasaannya tidak berbau sebaliknya bau lebih ketara pada rebung dalam tin atau rebung masam.
MENARIK DIBACA: Beli mahal, sayang jika buang kulit udang! Boleh buat serbuk perasa, banyak manfaat lain
MENARIK DIBACA: Dimasak tak guna cili, tiada garam dan gula! Mi goreng basah ini tetap sedap 'kebabom'
"Kalau rebung segar tak ada bau. Yang berbau tu biasanya rebung dalam tin atau rebung masam. Kalau saya beli rebung dalam tin saya akan basuh dan rebus dengan gula serta garam sampai mendidih. Lepas tu angkat, bilas dan dah boleh dimasak.
"Kalau rebung kuning yang panjang-panjang tu biasanya kena rebus asing dan buang air rebusannya dulu. Kalau ada air beras, rebus kali pertama guna air beras. Bila mendidih, buang airnya kemudian rebus lagi sekali atau dua kali guna air biasa. Lepas tu barulah boleh dimasukkan dalam masakan," komen lagi warganet.