Bawang putih berkulat undang risiko kanser, jangan teragak-agak nak buang
SESETENGAH orang gemar mengupas kulit bawang putih lebih awal dan menyimpannya dalam peti sejuk bagi memudahkan proses memasak.
Tiba waktu nak memasak, ambil sahaja bawang putih yang sudah dikupas tanpa perlu lagi bersusah payah mengupas kulit satu persatu.
Bagaimanapun, seorang pengguna Threads memberitahu cara penyimpanan perlu diberi perhatian kerana bawang putih disimpan terlalu lama berisiko untuk berkulat.

Tambahnya, bahagian yang dijangkiti tidak boleh sekadar dipotong dah seharusnya dibuang sepenuhnya.
“Saya baru tahu yang bawang putih dah siap kupas kalau simpan dalam peti ais dan dah berkulat, kita kena buang semua. Bukan buang yang dah rosak je," katanya.
Jelasnya, ia boleh meningkatkan risiko kepada kesihatan sekiranya makanan yang sudah dicemari kulat terus dimakan, terutama jika berlaku pendedahan berulang.
MENARIK DIBACA: Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
MENARIK DIBACA: Bawang rupanya ada strategi pertahankan diri, punca manusia pedih mata ketika menghiris
“Sesetengah kulat daripada genus Aspergillus boleh menghasilkan aflatoksin, iaitu sejenis toksin yang bersifat karsinogen.
“Ia boleh meningkatkan risiko kanser jika kita terdedah secara berulang,” jelasnya.
Secara saintifiknya, aflatoksin memang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser terutama kanser hati.
Bagaimanapun, bukan semua kulat Aspergillus menghasilkan aflatoksin.

Apabila bawang putih sudah menunjukkan pertumbuhan kulat, ia menandakan makanan tersebut telah mengalami kerosakan.
Kulat juga boleh menghasilkan struktur halus yang sukar dilihat dengan mata kasar dan dalam sesetengah makanan boleh menembusi lebih jauh dari bahagian yang jelas berkulat.
Sebab itu, memotong atau membuang bahagian yang nampak berkulat sahaja bukan pilihan paling selamat.
Lebih baik buang keseluruhan bawang putih yang sudah berkulat, terutama jika beberapa ulas disimpan bersama dalam satu bekas.