Durian Malaysia dianggap terbaik, banyak manfaat kesihatan - Ahli kimia AS
ORANG ramai sering menganggap durian boleh memudaratkan kesihatan jika dimakan terlalu kerap atau banyak sehingga ada yang takut untuk menikmati sepuas-puasnya raja buah itu .
Seorang ahli kimia dari Amerika Syarikat (AS), Dr Dan Gubler tampil berkongsi pandangan berbeza dengan menonjolkan khasiat durian, malah menyifatkan durian Malaysia sebagai yang terbaik.
Menurutnya, di sebalik bau kurang disenangi sesetengah individu, durian sebenarnya kaya dengan nutrien dan sebatian bioaktif yang memberi manfaat kepada kesihatan.

"Durian boleh bunuh sel leukemia. Walaupun baunya busuk bagi sesetengah orang, saya suka bau dan rasanya.
"Saya suka semua durian Malaysia, ia adalah yang terbaik!" katanya menerusi satu perkongsian video di Instagram miliknya, Selasa lalu.
Berdasarkan penjelasan Dr Gubler di laman web miliknya, beberapa kajian makmal mendapati ekstrak durian berpotensi mencetuskan proses apoptosis, iaitu mematikan sel leukemia secara semula jadi.
MENARIK DIBACA: Pertama kali makan durian, reaksi Datuk Bandar London jadi perhatian
MENARIK DIBACA: Setengah orang anggap durian busuk, ada individu kata harum... Ini penjelasan saintifik
"Walaupun ia bukan rawatan untuk leukemia, penemuan ini menyerlahkan kandungan fitokimia yang tinggi dalam durian seperti flavonoid dan sebatian organosulfur yang berinteraksi dengan laluan selular berkaitan pertumbuhan sel yang tidak normal," jelasnya.
Dia bagaimanapun menegaskan bahawa penemuan tersebut adalah berdasarkan kajian di peringkat makmal dan tidak bermaksud durian boleh dijadikan rawatan untuk penyakit leukemia.
Selain itu, Dr Gubler turut menyenaraikan beberapa manfaat lain durian kepada kesihatan apabila diambil secara sederhana, antaranya:

- Membekalkan tenaga kepada tubuh.
- Berpotensi membantu meningkatkan kesuburan.
- Membantu mengurangkan tekanan darah.
- Kaya antioksidan.
- Mempunyai sifat antibakteria.
- Bertindak sebagai agen anti-radang yang kuat.
- Tinggi kandungan serat yang baik untuk sistem penghadaman.
Dalam pada itu, dia menyarankan agar pengambilan durian dilakukan secara sederhana, iaitu sekitar empat ulas sekali-sekala bagi menikmati manfaat kesihatannya.