Formula 1 Sepang: Nasi lemak telur goreng harga RM35 jadi perhatian
NASI lemak biasa dengan tambahan lauk ringkas seperti telur goreng menjadi antara menu sarapan yang masih dianggap murah.
Bagaimanapun harganya naik mencanak apabila sajian itu dijual di kawasan berlangsungnya acara Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Memetik laporan media, hasil semakan pada pautan pesanan makanan di acara tersebut mendapati nasi lemak bersama telur goreng dijual pada harga RM35 sepinggan.
Tidak hanya nasi lemak, beberapa makanan lain yang disenaraikan turut menunjukkan peningkatan harga luar biasa, malah dikatakan sama seperti harga makanan di restoran mewah.
Antara makanan lain yang dijual seperti nasi ayam dan Indomie bersama telur goreng yang masing-masing berharga RM30.

Lebih mengejutkan, hidangan ringan seperti buah potong juga dijual pada harga 'kayangan' iaitu mencecah RM20.
Harga makanan yang ditawarkan itu sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengunjung kerana menu berkenaan merupakan hidangan asas yang lazimnya boleh didapati pada harga jauh lebih rendah di luar kawasan acara.
Bagi pengunjung yang hadir sendirian mungkin tidak terlalu menjadi masalah, namun jika datang bersama keluarga, jumlah yang perlu dibelanjakan untuk makanan sahaja boleh mencecah ratusan ringgit.
Sebagai contoh, empat nasi lemak sahaja sudah mencecah RM140, manakala empat hidangan nasi ayam pula berjumlah RM120.
MENARIK DIBACA: Perhatian untuk lelaki! 8 makanan ini bantu tingkatkan kualiti, kesihatan sperma
MENARIK DIBACA: Biskut Oreo biasanya manis, kini tampil dengan krim ayam goreng KFC pula!
Jika memilih buah potong pula harganya RM80, itu belum termasuk minuman atau makanan lain.
Keadaan ini menyebabkan pengunjung yang merancang menghabiskan masa seharian di SIC perlu membuat persediaan bajet dengan lebih teliti, termasuk mengambil kira kos tiket, pengangkutan, makanan dan minuman serta cenderamata.
Selain menyaksikan aksi perlumbaan, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang acara termasuk Bahrain Village yang mengetengahkan elemen budaya, hospitaliti dan kulinari Bahrain.
Jadi, kalau anda merancang untuk ke SIC sepanjang acara berlangsung, lebih baik semak dahulu harga makanan dan sediakan bajet secukupnya supaya tidak terkejut apabila mahu membeli makanan.

Mungkin dengan cara membawa bekal makanan sendiri dari rumah menjadi alternatif terbaik untuk menjimatkan wang anda ketika ke acara F1.
Untuk info, F1 kembali menghangatkan SIC minggu ini apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 dari 2 hingga 4 Oktober.
Penganjuran kali ini cukup istimewa kerana ia menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas kali terakhir perlumbaan diadakan di litar berkenaan pada 2017.
Bagaimanapun, acara tersebut secara rasmi masih membawa nama Bahrain Grand Prix dan bukannya Malaysian Grand Prix.