Nampak notis 'Tiada QR Hari Ini', pelanggan luluh hati dengar jawapan makcik jual kuih
BAGI mereka yang bergelar peniaga kecil, setiap pembayaran yang dibuat oleh pelanggan adalah penting walau nilainya tidak seberapa.
Gara-gara berdepan isu pembayaran, seorang makcik yang berniaga kuih sekitar Klebang Restu, Ipoh, Perak mengambil keputusan untuk tidak menerima bayaran melalui kod QR buat sementara waktu.
Perkara itu dikongsikan seorang individu yang mendakwa terlihat notis ‘Tiada QR Hari Ini’ digantung di gerai berkenaan ketika membeli kuih.
"Pergi satu gerai mak cik jual kuih dekat Klebang Restu hari ini, mak cik gantung 'Tiada QR hari ini', bila tanya mak cik cakap 'sebab ramai sangat orang tipu dik'.

"Banyak duit tak masuk dekat mak cik. Mereka edit resit. Pakai mesin bunyi pun sama je.
"Pelanggan suka tipu memang perangai beruk eh? Kuih berapa puluh sen pun tak nak bayar ke? Mak cik jual kuih berapa sangat untung dia dapat. Memang merangkak dekat akhirat makan benda tak bayar," kongsinya di Threads.
MENARIK DIBACA: Ambil cuka epal sebelum makan bantu kawal gula, ini cara disarankan
MENARIK DIBACA: Jangan potong epal, gigit sebiji terus! Ini sebabnya
Perkongsian tersebut mengundang simpati warganet menyifatkan perbuatan menipu peniaga sebagai sesuatu tak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan nilainya tidak seberapa.
Ada juga mengakui pernah membeli kuih di gerai berkenaan dan berasa kasihan selepas mengetahui perkara tersebut.
“Saya pernah kena. Dia pesan banyak, akhirnya tunjuk gambar QR. Balik saya semak, tiada pembayaran masuk.

"Saya jual keropok lekor. Pelanggan perempuan beli makanan dan tunjuk gambar QR. Balik saya semak tak ada, memang saya tak halal.
"Kesian mak cik. Tergamak bab makanan tak bayar," komen netizen
Isu ini secara tidak langsung menjadi peringatan kepada pelanggan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap peniaga kecil.
Bagi sesetengah orang, nilai beberapa ringgit mungkin nampak kecil, tetapi bagi mereka yang berniaga dari pagi hingga petang, hasil jualan itulah yang dikumpulkan sedikit demi sedikit untuk menampung kehidupan.