Suami rekod isteri masak atau tidak setiap hari, rupanya ada ‘misi’
SETIAP individu mempunyai cara berbeza untuk menunjukkan penghargaan kepada pasangan masing-masing.
Ada yang suka memberi hadiah, ada yang gemar belanja makan dan tidak kurang juga memilih cara unik yang jarang dilakukan orang lain.
Begitulah kisah seorang wanita yang terkejut apabila mengetahui suaminya membuat catatan sama ada dia memasak atau tidak setiap hari.
Menurut wanita itu, dia pada mulanya berasa pelik dengan tindakan suami yang sanggup merekod tugas memasaknya selepas enam tahun mereka mendirikan rumah tangga.
“Saya tak jangka suami akan rekod saya masak atau tidak setiap hari. Kadang pelik dengan suami sendiri.

“Sebab bagi saya masak ke tak, sampai kena rekod ni betul luar kotak.
“Alasan suami nak bagi ‘duit belanja’ lebih. Tapi kenapa kena rekod. Saya masih tak boleh fikir. Suami yang lain macam ni tak?” kongsinya menerusi satu hantaran di Threads.
Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa suaminya baru sahaja memulakan jadual rekod tersebut sekitar Ogos lalu.
Katanya, tindakan itu dilakukan selepas enam tahun mereka berkahwin dan bukan bertujuan untuk memaksa atau mengira berapa kali dia perlu memasak dalam sebulan.
MENARIK DIBACA: Wanita ditegur sebab masak nasi, telur serentak - "Mak aku meninggal sebab salmonella"
MENARIK DIBACA: Kerap minum kopi berisiko lemahkan tulang, wanita berusia perlu waspada - Kajian
“Jangan salah faham. Suami saya baru mula buat jadual rekod sekitar Ogos lalu selepas enam tahun perkahwinan.
“Saya tahu suami buat ni sebagai cara menghargai saya sebab jarang masak.
“So sekali saya masak memang dia hargai sangat,” jelasnya.
Lebih menarik, wanita itu memberitahu suaminya tidak pernah memarahinya sekiranya dia tidak memasak.
Malah, pasangan tersebut akan memilih untuk makan di luar sekiranya tiada hidangan yang dimasak di rumah.
“Suami saya pun tak pernah marah masak ke tak. Tak masak memang kami makan luar.
“Dia pun faham saya balik kerja penat,” katanya.
Perkongsian wanita itu menarik perhatian ramai apabila ramai yang ingin mengetahui bagaimana pasangan tersebut menguruskan kerja rumah dan perbelanjaan selepas berkahwin.
Wanita berkenaan mengakui dia langsung tidak menyangka hantaran yang dibuat secara santai itu akhirnya mencuri perhatian ramai.

Dia turut memaklumkan tidak sempat membalas semua komen yang diterima selepas perkongsian tersebut menjadi perhatian.
“Banyak komen diterima tapi saya tak sempat nak balas semuanya. Terima kasih doa baik-baik untuk kami.
“Buat komen negatif saya doa terbaik juga buat kamu semua,” tulisnya.