Sibuk sampai tak sempat makan, lelaki tersentuh 'uncle' e-hailing belikan roti dan air
SEORANG lelaki tidak menyangka perjalanan menaiki kereta bersama pemandu e-hailing bertukar menjadi satu kenangan menyentuh hati.
Menerusi satu hantaran di Threads, penumpang lelaki itu berkongsi pengalaman ketika menaiki e-hailing untuk ke lapangan terbang.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan pemandu berkenaan bertanya sama ada dia sudah makan tengah hari atau sebaliknya.
“Naik e-hailing hari ini nak pergi lapangan terbang. Dalam perjalanan, pemandu tanya dah makan tengah hari ke belum? Saya jawab, belum.

“Kemudian dia (pemandu) cakap nak berhenti sekejap di stesen minyak untuk ke tandas. Saya ingatkan itu saja,” kongsinya.
Bagaimanapun, lelaki tersebut terkejut apabila pemandu berkenaan kembali ke kenderaan sambil membawa air dan roti untuknya.
“Tapi apabila dia datang balik, pemandu ini hulurkan air dan roti. Benda kecil macam ini, tapi entah kenapa terasa sangat besar,” luahnya.
Menurut lelaki tersebut, pemberian itu mungkin kelihatan kecil bagi orang lain, tetapi sangat bermakna buat dirinya.
MENARIK DIBACA: Buat sendiri jeli kesihatan guna lemon, kunyit dan halia... Snek enak, bantu kulit 'glowing'
MENARIK DIBACA: Mudahnya buat lemon cheesecake, tak perlu guna oven... Confirm sedap!
“Dalam kesibukan mengejar masa, kadang-kadang hadirkan orang tak dikenali untuk buat diri rasa seolah-olah dijaga,” tulisnya.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pemandu berkenaan yang dikenali sebagai Mr Ting.
“Mr Ting, terima kasih. Mungkin awak anggap ia cuma satu perkara kecil, tetapi bagi saya, ia sangat bermakna,” katanya.
Lelaki itu turut menjelaskan bahawa perkongsian tersebut bukanlah ulasan berbayar, sebaliknya kejadian sebenar yang dialaminya.
Hantaran berkenaan kemudian mendapat perhatian ramai yang turut berkongsi pengalaman menerima kebaikan daripada orang tidak dikenali.

“Pandai pemandu buat orang rasa dihargai dan gembira. Benda kecil tetapi penuh makna.
“Ramai berhati mulia, muncul diri pada saat diperlukan.
“Saya sebagai pemandu pun akan buat macam ini. Bagi pelanggan gembira, salah satu pahala,” antara komen netizen.
Pengalaman ini menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak semestinya hadir dalam bentuk mewah atau besar.
Kadangkala, hanya sebotol air cukup untuk membuat diri rasa dihargai terutama ketika melalui hari sibuk dan mencabar.