Asyik pesan menu sama... Ramai tak sedar ada 25 pilihan roti canai 'rare', ini 10 paling padu
ROTI canai kosong dan roti telur sudah tidak asing lagi dalam masyarakat Malaysia, tetapi ramai tidak tahu sajian itu boleh disajikan dalam pelbagai cara.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang lelaki apabila mendapati kebanyakan rakyat Malaysia hanya cenderung memesan roti canai kosong atau roti telur bersama bawang.
"Bab roti canai, kita memang jarang bereksperimen. Selalunya pilih roti canai kosong atau roti telur bawang sahaja.
"Pada saya, apa lebih penting adalah kuah dal atau kari dihidangkan," tulisnya.

Individu itu mengakui dirinya bagaimanapun tidak pernah mencuba roti canai berkeju kerana merasakan gabungan itu agak pelik. Satu-satunya menu pernah dicubanya di luar kebiasaan hanyalah roti tisu.
"Saya tak pernah cuba roti canai berkeju kerana bagi saya ia seperti 'mencemarkan' keaslian roti canai.
"Roti tisu pula hanya pernah makan sekali, rasanya macam makan angin sahaja," katanya berseloroh.
Perkongsian itu turut mencuri perhatian apabila dia menyenaraikan 25 variasi roti canai boleh ditemui di Malaysia, sekali gus menunjukkan betapa kreatifnya pengusaha tempatan menghasilkan menu berasaskan roti canai.
Antara 25 variasi unik itu termasuk roti cobra, canai hawaii; tsunami; kaya; salad dan jantan serta canai maggi.
MENARIK DIBACA: Terlekat tulang ikan, wanita kongsi bacaan disaran ustazah... Ramai tampil kongsi petua lain
MENARIK DIBACA: Wanita 'claim' buat sambal belacan tersedap di muka bumi, tak lokek kongsi resipi
Berikut adalah 10 variasi roti canai terbaik untuk dinikmati.
1.Roti planta
Roti planta menjadi pilihan ramai kerana aroma mentega harum, teksturnya rangup di luar tetapi lembut di dalam.
2.Roti bom
Roti bom digemari kerana tekstur tebal, lembut dan gebu, selain rasa manis serta lemak mentega lebih menyerlah.

3.Roti telur goyang
Gabungan roti canai rangup dengan telur separuh masak di bahagian luar, menghasilkan tekstur lebih garing di samping rasa telur lebih menyerlah.
4.Roti pisang
Menu ini selalunya menggabungkan pisang lembut dan manis dengan roti canai rangup menghasilkan rasa lebih mengenyangkan dan sesuai dinikmati bersama susu pekat atau kuah kari.
5.Roti keju
Pilihan ini dikenali kerana rasanya berkrim dan menjadi pilihan individu gemar kelainan.
6.Roti sardin
Buat penggemar roti sardin, menu ini memberikan kepuasa pada balutan roti canai rangup bersama inti sardin pedas.

7.Roti Milo
Sesuai dinikmati sebagai hidangan atau pencuci mulut, gabungan serbuk malt koko dengan roti canai garing bukan sahaja digemari kanak-kanak tetapi dewasa.
8.Roti tisu
Roti ini terkenal dengan bentuknya tinggi dan nipis, bertekstur rangup disaluti mentega dan gula.
9.Roti puri
Digemari kerana teksturnya lebih ringan, roti ini lebih gebu dan kembang berbanding canai biasa.
10.Nan keju
Roti ini memiliki tekstur lebih tebal dimasak dalam tempayan dan enak dimakan bersama ayam tandoori.