Peniaga biasanya tak basuh dulu, ramai keliru kuetiau perlu cuci atau tak sebelum dimasak
SELALUNYA kalau nak masak mi kuning atau bihun, ramai dah terbiasa membasuh dan mencelurnya terlebih dahulu untuk melembutkan tekstur selain menghilangkan bau serta sisa kapur.
Tapi bagaimana pula dengan kuetiau?
Perlukah ia dibasuh sebelum digoreng atau sebenarnya boleh terus dimasukkan ke dalam kuali?
Nampak remeh, namun perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen selepas seorang pengguna di Threads berkongsi persoalan mengenainya.

Menerusi hantaran tersebut, dia bertanyakan pendapat ramai sama ada kuetiau perlu dibasuh atau tidak sebelum digoreng.
"Sebenarnya kuetiau perlu dibasuh ke sebelum goreng? Aku basuh je sebab dah terbiasa masak mi basuh." ujarnya.
Perkongsian itu mencuri perhatian dan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna laman Threads.
Sebahagian besar netizen mengakui mereka memang akan membilas kuetiau terlebih dahulu sebelum dimasak kerana bimbang soal kebersihan memandangkan produk itu diproses di kilang.
Ada juga yang berkata membasuh semua jenis mi adalah rutin kerana sudah terbiasa membasuh hampir semua bahan mentah sebelum dimasukkan ke dalam kuali.
MENARIK DIBACA: Sedap tak semestinya selamat, tauge boleh jadi punca jangkitan dan keguguran
MENARIK DIBACA: Ini tip, bahan rahsia masak kuetiau goreng padu macam makan di kedai
"Saya basuh. Memang dah 'habit' basuh segala benda sebelum masuk kuali.
"Saya pun selalu rendam kejap dengan air. Kalau tak basuh pun okay ke? Kita ni risau kotor.
"Perlu rasanya sebab kita tak tahu siapa yang buat dekat kilang tu kan. So bilas-bilas manja je la," antara komen netizen.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang berpendapat kuetiau tidak perlu dibasuh.

Menurut mereka, kuetiau segar tidak perlu dibasuh kerana teksturnya yang lembut dan mudah putus.
Selain itu kuetiau juga disaluti sedikit minyak bagi mengelakkan helaiannya melekat antara satu sama lain, bukannya disaluti kapur seperti mi kuning.
"Basuh, tapi lepas tu hancur kuetiau aku.
"Rasanya macam tak perlu. Sebab dia macam dah 'coating' dengan minyak kan.
"Yang pasti kat pasar malam tu tak basuh!" komen netizen lagi.