Warung nasi lemak kegemaran tutup seminggu, pelanggan pelik pemilik kata 'buka macam biasa'
SEORANG lelaki berkongsi pengalaman pelik apabila mendakwa warung nasi lemak kegemarannya terkena sihir.
Menurut lelaki itu, warung itu dilihat tidak beroperasi selama hampir seminggu sedangkan peniaganya mendakwa dia berniaga seperti biasa sepanjang tempoh tersebut.
Menerusi satu hantaran di Threads, lelaki itu berkata dia merupakan pelanggan tetap warung berkenaan kerana amat menggemari keenakan nasi lemak yang dijual di situ.
Tambahnya, setiap pagi dia akan singgah untuk bersarapan atau membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah.
"Setiap hari aku pergi, memang nasi lemak dia je aku boleh 'ngam'. Jujur aku cakap aku 'frust' setiap kali lalu sebab bila tengok warung tu tutup rapat, terpaksa la aku cari warung lain," katanya.
Dia berkata, keadaan itu berlarutan selama beberapa hari dengan setiap kali melalui kawasan tersebut warung berkenaan kelihatan kosong dan tidak beroperasi.
Bukan sahaja dirinya, ahli keluarga lain turut berasa kecewa kerana sudah beberapa hari tidak dapat menikmati nasi lemak kegemaran mereka.

"Saya ingatkan abang tu cuti panjang atau ada urusan. Hari-hari saya datang tengok, tetap tutup. Sampai dah pasrah tak dapat makan nasi lemak tu sepanjang minggu," ujarnya.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila dia kembali ke warung berkenaan pada minggu berikutnya.
Ketika menghantar anak ke sekolah, dia ternampak warung tersebut dipenuhi pelanggan dan banyak kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.
Selepas seminggu tidak menikmati nasi lemak kegemaran, dia bertanya sendiri kepada pemilik warung mengenai penutupan kedai pada minggu lepas.
Bagaimanapun jawapan yang diterima benar-benar mengejutkan dirinya.
"Saya tanya lama tak buka ke bang? Dia pula hairan dan tanya bila. Saya cakap minggu lepas hari-hari saya datang tengok tutup.
MENARIK DIBACA: Jurufoto tersinggung ditegur tuan rumah lepas ambil sebiji semperit - "Kalau tak dijemput, jangan makan"
MENARIK DIBACA: Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
"Tapi dia jawab tak ada pun, dia berniaga macam biasa setiap hari dan minggu lepas pun warung buka seperti biasa," katanya.
Menurut lelaki itu, dia pada mulanya menyangka dirinya tersilap pandang.
Perasaan pelik mula timbul apabila pemilik warung turut memaklumkan bahawa beberapa pelanggan lain turut bertanyakan perkara sama.

"Sebenarnya bukan awak seorang. Dah empat atau lima orang tanya warung tak buka ke minggu lepas. Memang ramai yang datang dan terus pusing balik," dia berkongsi kata-kata pemilik warung.
Apabila diceritakan tentang perkara ini, pemilik mengakui dia ada melihat kereta lelaki berkenaan lalu kawasan warung tetapi berpatah balik tanpa singgah.
Malah, jualan nasi lemak pada minggu itu juga dikatakan kurang laris.
Pengalamannya itu membuatkan dia percaya warung tersebut mungkin menjadi mangsa perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab.
"Aku seorang mungkin boleh kata tersilap tengok tapi kalau ramai orang alami benda sama memang pelik.
"Paling kesian dekat abang tu, dia berniaga cari rezeki biasa-biasa saja, bukan untung berjuta-juta pun," katanya.
Hantaran tersebut menarik perhatian warga maya yang rata-rata berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan premis perniagaan yang didakwa sukar dilihat pelanggan walaupun sebenarnya beroperasi seperti biasa.
"Kafe saya pun banyak kali pelanggan kata tutup padahal saya buka je.Tapi bila pelanggan macam nak serius saya mula buat lawak hambar padahal terkejut betul bila kedai buka, orang kata tutup.
"Begitulah dalam dunia bisnes ni. Macam-macam ujian ada belum lagi dia bagi sakit," komen salah seorang netizen.