Khairul Aming tak sentap dikritik, terus perbaiki kualiti kuih muih di Rembayung
PEMPENGARUH dan usahawan terkenal, Khairul Aming sekali lagi menjadi perhatian apabila dia mengambil serius segala komen pelanggan mengenai kuih muih di Rembayung yang didakwa agak kering dan kurang enak.
Menerusi perkongsian di Threads, Khairul Aming atau lebih mesra disapa KA berkata, pihaknya sudah melakukan penambahbaikan terhadap sajian kuih tradisional yang dijual selepas menerima pelbagai maklum balas daripada pelanggan.
"Sebelum ni customers bagi feedback kuih kat Rembayung banyak yang kering, lemau and kurang fresh.
"Thanks to your feedback, now kuih kita (Rembayung) dah jauh improved. Setiap kuih dibalut rapi untuk pastikan tak ada isu kering. Sekarang Alhamdulillah ramai repeat makan sampai ada yang 'tapau' extra bawa balik," tulisnya menerusi hantaran pada Rabu.

Menerusi video dikongsikan, KA turut menunjukkan perubahan yang dilakukan terhadap kuih-muih di restoran itu yang mana ia kini dibungkus lebih kemas bagi memastikan tekstur kekal lembut, lembap dan segar.
Antara kuih tradisional menjadi pilihan pelanggan di stesyen kuih Rembayung termasuklah seri muka, talam durian, kole kacang, kuih lapis merah, ketayap, pulut tai tai, puteri ayu, keria, popia sira, koci, ondeh-ondeh dan kaswi.
MENARIK DIBACA:TokTi sambut hari jadi pengurus di Rembayung... Sama macam orang lain, tetap kena 'battle' slot!
MENARIK DIBACA: Jangan panik! Madu dan minyak kelapa berkesan rawat tangan melecur terkena minyak panas
Dalam pada itu, perkongsian KA mengenai kuih kaswi turut mencuri perhatian ramai apabila dia berseloroh menyifatkan kuih berkenaan sebagai 'gedik' seperti rakan baiknya, pempengaruh Azfar Heri.
Menurut KA lagi, pelanggan juga boleh memilih sendiri jenis kuih yang dimahukan sebelum ia dihidangkan di dalam pinggan khas yang mampu memuatkan empat jenis kuih berbeza.
"Pesanan pelanggan akan diletakkan dalam pinggan yang cantik, boleh mengisi empat kuih mengikut pilihan mereka.
"Tepung boko juga antara best seller kami, di mana bawahnya tepung ubi kayu dan atasnya santan," katanya lagi.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji sikap KA terbuka menerima kritikan pelanggan selain pantas melakukan penambahbaikan.
"Sumpah kuih-kuih kami makan dekat Rembayung hari Isnin hari tu memang sedap-sedap sangat, teringat sampai sekarang.
"Contoh usahawan berjaya. Terus improvise dan dengar pendapat pelanggan datang. Bukan dia pula 'educate' pelanggan untuk menerima apa sahaja.
"Cun... pulut kalau tak balut memang cepat kering dan keras.

"I love tepung boko!
"Pulut tai tai sedap, siapa belum pernah rasa memang kena cuba.
"Pinggan bunga Rose tu klasik, nostalgia zaman 60-an,” tulis beberapa netizen.
Sikap terbuka menerima teguran dan pantas memperbaiki kelemahan adalah faktor membuatkan ramai terus teruja menyokong perniagaan Rembayung.