"Jaga makan waktu haid" - Wanita TTC dedah kiwi bantu suburkan telur, akhirnya ‘lekat’!
PERJALANAN untuk bergelar seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah terutama bagi wanita yang sedang berusaha untuk hamil atau TTC (trying to conceive).
Pelbagai usaha konsisten termasuk menjaga pemakanan, gaya hidup serta memahami kitaran tubuh sendiri dilakukan demi mendapatkan peluang hamil.
Dalam masa sama, ramai juga mula mendalami ilmu kesuburan untuk lebih memahami kitaran tubuh terutamanya berkaitan ovulasi.
Menerusi satu perkongsian di laman Threads, seorang wanita mengakui dia sebelum ini kurang ilmu mengenai pemakanan ketika fasa awal kitaran haid, sehinggalah akhirnya menyedari kepentingannya dalam membantu proses penyuburan.

“Dulu kurang ilmu, waktu haid dulu makan pedas, nanas, makanan segera sebab nak lancarkan haid, salah tu. Rupanya waktu haid kita kena jaga makan.
"Makan buah kiwi untuk telur matang, serius menjadi. Maklumlah tak sesubur perempuan lain, jadi kita bagi tip untuk yang mahukan bayi,” tulisnya.
Menurutnya lagi, fasa awal haid hingga sekitar hari ke-14 kitaran dianggap sebagai tempoh penting bagi tubuh wanita dalam proses ‘mematangkan’ telur sebelum ovulasi berlaku.
Dalam tempoh ini, pemilihan makanan yang lebih seimbang dan berkhasiat dianggap dapat menyokong proses semula jadi tersebut.
“Semasa haid hari pertama sampai hari ke-14,” jawabnya, ketika ada yang bertanya mengenai waktu pengambilan buah kiwi.
MENARIK DIBACA: Pertama kali 'dating', pemuda geram kenalan wanita 'order' macam-macam! Anggap tiada 'common sense'
MENARIK DIBACA: Mandi air garam dan limau nipis baik untuk kesegaran tubuh, aura positif! Syirik jika niat tolak bala
Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai respon daripada wanita TTC lain dan ramai mengakui mengamalkan pemakanan tertentu sebagai ikhtiar untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Antara makanan popular lain untuk ikhitar hamil termasuklah telur ayam kampung serta susu.
Malah, ada juga yang mencadangkan pengambilan suplemen seperti CoQ10, vitamin D dan asid folik.
“Kiwi, telur ayam kampung, susu antara solid food yang membantu matangkan telur. Boleh tambah juga suplemen CoQ10, vitamin D dan folic acid juga,” kongsi seorang pengguna.
Beberapa warganet lain turut berkongsi pengalaman setelah berjaya hamil selepas beberapa tahun dalam fasa TTC.

“Masa TTC dulu empat tahun, setiap bulan makan kiwi kuning tu. Alhamdulillah memang menjadi dan lekat ya.
“Saya la tu sehari sebiji, tiga bulan makan kiwi sampai muak. Alhamdulillah,” kongsi mereka.
Tidak kurang juga yang menyifatkan makanan seperti kiwi dan telur kampung sebagai ‘makanan wajib’ bagi mereka yang sedang berusaha untuk hamil.
“Ya kiwi dan telur ayam kampung ni 'makanan kebangsaan' orang TTC,” tulis seorang netizen.
Walaupun pelbagai tip dan pengalaman dikongsi, pakar kesihatan menegaskan bahawa kesuburan wanita dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk hormon, gaya hidup, tahap stres dan keadaan kesihatan secara keseluruhan.
Pemakanan sihat dilihat sebagai salah satu usaha sokongan membantu seseorang itu hamil.
Namun bagi wanita TTC, setiap usaha adalah harapan dalam perjalanan mereka untuk bergelar ibu.