Ibu risau berat bayi tak naik-naik masa umur 9 bulan! Syukur keju jadi penyelamat
RAMAI ibu bapa sering berdepan situasi berat badan anak kecil sukar naik walaupun makan dan minum susu seperti biasa.
Justeru pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan selera makan si manja.
Di Threads seorang ibu berkongsi kisah dirinya yang bimbang berat anak tidak meningkat walaupun sudah berusia sembilan bulan.
"Masa 'checkup' hari tu 'nurse' cakap berat anak aku 'stuck', sembilan bulan masih tujuh kilogram... bayi perempuan.
"Makan dan minum susu normal saja, aku rasa berat dia tak naik sangat sebab dia ada banyak kali demam masa nak tumbuh gigi. Lepas tu dia aktif je kat rumah, logik je kan?" katanya.
Bagi mengatasi masalah tersebut, dia cuba menambah keju ke dalam makanan anak seperti bubur dan pasta begitu juga sumber protein dalam diet harian.
Tanpa disangka, si kecil mula menyukai makanan tersebut dan menunjukkan sedikit peningkatan berat badan.

"Aku ada juga cuba campur keju dalam bubur/pasta anak kemudian lebihkan protein, sekarang bayi aku ni suka betul nak meratah keju macam tu je.
"Setakat ni timbang kat rumah dulu sebab belum sampai tarikh 'check' lagi, Alhamdulillah ada kenaikan weh," katanya.
Di ruangan komen, perkongsian itu mendapat perhatian ibu bapa lain yang berkongsi pengalaman hampir sama.
MENARIK DIBACA: Wanita terkedu mahkamah persoal anak makan 3 kali sehari, ada halia dalam resit tuntutan nafkah
MENARIK DIBACA: Wanita 30-an risau wajah mula nampak tua, 'berdesup' netizen kongsi tip pemakanan elak kulit berkedut
"Samalah anak saya sembilan bulan lebih paling suka meratah keju saja. Masa tujuh bulan dah bagi sikit-sikit je buat-buat rasa orang kata.
"Oh ya anak saya dengan awak sama cumanya anak saya dah nak nak masuk sembilan bulan, berat 7.2 kilogram je baru ni timbang, cumanya dia lapan bulan dah empat batang gigi. Kalau keju ni boleh makan dah, saya nak beli. Terima kasih awak sebab kongsi.
"Anak saya pun suka yang ni," antara komen netizen.

Dalam masa sama, dia mengingatkan agar tidak memberi sembarangan keju kepada bayi terutama jenis liat atau bertali kerana sukar ditelan dan berisiko.
"Keju yang saya guna jenis lembut dan mudah cair bila dimasak. Yang tak sesuai untuk bawah setahun ialah keju yang liat dan bertali.
"Boleh beri sekali-sekala bukan setiap hari,” jelasnya.
Bagaimanapun, terdapat netizen tampil mengingatkan supaya ibu bapa tetap berpada-pada dalam pemberian keju berproses kepada bayi bawah usia setahun.
"Bayi bawah satu tahun tak digalakkan ambil makanan tinggi garam termasuk keju berproses. Buah pinggang belum matang jadi elakkan sodium berlebihan.
"Kalau makan kadang-kadang tak apa tapi jangan jadikan biasakan," nasihat warganet.