Jualan Agro Madani Edisi Perlis di Selayang: Produk agro segar, harumanis premium jadi tarikan
PROGRAM Jualan Agro Madani Edisi Perlis yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Fama di Selayang oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mendapat sambutan meriah.
Program ini menawarkan pelbagai produk agromakanan segar dan keperluan harian kepada pengguna pada harga rendah dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat.
Mengetengahkan tema 'Pemasyuran Jualan Agro Madani Edisi Perlis 2026', program ini turut menampilkan pelbagai jualan istimewa termasuk Harumanis Perlis premium, Kombo Madani, ayam segar, daging tempatan, buah-buahan, sayur-sayuran segar serta produk usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (Imat).

Majlis perasmian Jualan Agro Madani Edisi Perlis ini disempurnakan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada Jumaat.
Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri berkata, Program Jualan Agro Madani bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dan hasil agromakanan segar pada harga rendah, malah turut membuka lebih banyak peluang pasaran kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui konsep jualan terus kepada pengguna.
Pada masa sama, penganjuran program edisi Perlis kali ini juga menjadi platform terbaik dalam mempromosikan produk premium negeri seperti Harumanis Perlis kepada pengguna di Lembah Klang, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta menyokong pembangunan ekosistem pemasaran agro tempatan yang lebih mampan.
MENARIK DIBACA: 'Rupa' pucat, sekali rasa terus ketagih! Pemilik kedai nasi Padang dedah keunikan ayam pop
MENARIK DIBACA: Masih terasa keenakan bihun goreng makcik kantin, rupanya ini rahsia buat ramai terkenang-kenang
Antara tarikan utama program ialah jualan Happy Hour Kombo Madani pada harga serendah RM5 bagi 100 set terawal, selain jualan Harumanis Perlis premium sebanyak 1,500 kilogram pada harga promosi RM100 bagi setiap kotak seberat tiga kilogram. Sebanyak dua metrik tan bekalan Harumanis turut dibawa khas dari Perlis bagi memenuhi permintaan pengunjung.
Selain itu, pengunjung yang datang turut berpeluang mendapatkan ayam segar pada harga RM10 seekor, daging tempatan RM25 sekilogram serta buah Longan Kristal Sarawak pada harga RM15 sekilogram.
Program Jualan Agro Madani merupakan inisiatif di bawah KPKM yang dilaksanakan oleh Fama dengan kerjasama agensi di bawah kementerian bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan segar pada harga berpatutan melalui konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna.

Sejak diperkenalkan pada 2023, Program Jualan Agro Madani mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan pelaksanaan ribuan program di seluruh negara.
Pada 2025 sahaja, sebanyak 4,695 program berjaya dilaksanakan dengan nilai jualan mencecah RM101 juta serta nilai penjimatan kepada pengguna sebanyak RM30.3 juta dengan membabitkan manfaat kepada hampir 27.58 juta isi rumah di seluruh negara.
Bagi penganjuran Program Jualan Agro Madani Edisi Perlis, ia melibatkan 46 lot jualan dengan penyertaan 30 usahawan.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat terus memperkukuh rantaian pemasaran produk agro tempatan, meningkatkan pendapatan usahawan serta memastikan rakyat mendapat akses lebih mudah kepada produk makanan segar berkualiti pada harga mampu milik.