Minggu Makanan Turkiye 2026 angkat tema 'Meja Warisan'
MINGGU Makanan Turkiye (Turkish Cuisine Week) kembali untuk edisi kelima bermula dari 21 hingga 27 Mei 2026 bagi meraikan kulinari warisan negara itu yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.
Bertemakan ‘Meja Warisan’, sambutan pada tahun ini tidak hanya memberi penekanan kepada makanan tetapi warisan yang perlu diketengahkan.
Di Malaysia, acara ini disambut dengan majlis makan tengah hari eksklusif anjuran Pejabat Pelancongan dan Penerangan Kedutaan Republik Turkiye di kediaman Duta Besar di Kuala Lumpur dengan aneka makanan warisan Turkiye dihidangkan kepada jemputan yang terdiri daripada pihak media dan pempengaruh tempatan.
Pertemuan itu menghimpunkan tetamu untuk menikmati pengalaman sebenar kemesraan masyarakat Turkiye bersama tema kali ini yang mengetengahkan meja sebagai ruang kehidupan menyatukan budaya, kenangan dan tradisi.

Duta Besar Turkiye ke Malaysia, TYT Emir Salim Yuksel berkata, Minggu Makanan Turkiye bukan sekadar berkongsi cita rasa tetapi perkongsian kenangan berkurun lamanya, gerakan dan kebersamaan dibentuk oleh generasi yang berkumpul, memasak dan saling berhubung.
“Meja sentiasa menjadi tempat berkongsi cerita dan menghimpunkan tradisi dan itulah menjadi tema tahun ini - Meja Warisan.
MENARIK DIBACA: Pertama kali 'dating', pemuda geram kenalan wanita 'order' macam-macam! Anggap tiada 'common sense'
MENARIK DIBACA: Bekas cef peribadi dedah diet, menu harian Ronaldo! Sukar orang biasa nak ikut
“Kami berharap setiap tetamu pulang bukan hanya dengan cita rasa Turkiye namun penghayatan lebih mendalam terhadap warisan kehidupan di sebalik setiap resipi,” katanya pada Khamis.
Pada majlis itu turut ditampilkan demonstrasi masakan sajian ikonik Turkiye secara langsung dikendalikan Ketua Chef di Kedutaan Turkiye, Cef Leyla Ozdemir.

Sementara itu, Kaunselor Hal Ehwal Kebudayaan dan Pelancongan, Pejabat Pelancongan dan Penerangan Kedutaan Republik Turkiye, Mustafa Korkutata berkata, penekanan diberikan terhadap kepentingan mengetengahkan sajian Turkiye melalui acara jamu selera dan pembabitan praktikal.
“Bengkel seperti ini dapat beri peluang berharga kepada peserta untuk libatkan diri dalam penyajian makanan Turkiye menerusi cara lebih praktikal dan interaktif sekali gus membantu membina pemahaman terhadap kepelbagaian budaya kami,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Makanan Turkiye layari turkishcuisineweek.com.