Kopi unik di Jepun! Minum latte 'auto' rasa macam makan croissant
JEPUN sememangnya terkenal dengan pelbagai inovasi makanan dan minuman yang unik, termasuk menggabungkan cita rasa yang jarang terlintas di fikiran.
Terbaharu, syarikat pengeluar minuman, Suntory, memperkenalkan kopi dalam botol diinspirasikan daripada rasa croissant mentega, sejenis pastri popular yang sering dinikmati ketika sarapan.
Minuman dikenali sebagai Craft Boss Croissant Latte ini adalah hasil kerjasama Suntory dengan rangkaian kedai roti dan kafe popular yang berasal dari Omotesando, Tokyo, Bread, Espresso &.
Menurut laporan media, minuman berkenaan berada di pasaran pada 10 November 2026 dan ditawarkan untuk tempoh terhad.

Lebih menarik, kopi ini turut dirumus khas untuk memberikan pengalaman rasa seakan-akan menikmati croissant dicelup ke dalam secawan latte panas.
Bagi menghasilkan cita rasa ini, Suntory menggabungkan biji kopi panggang ringan untuk espresso sebelum menambah gula, sedikit garam dan perisa khas croissant bagi menghasilkan aroma mentega.
Gabungan bahan ini menghasilkan keseimbangan rasa manis, pahit dan sedikit masin, selain aroma mentega memberikan sensasi seolah-olah menikmati kopi bersama pastri berkenaan.
MENARIK DIBACA: Kecoh deodoran haruman 'chicken nugget' di pasaran - "Ada orang akan bau ayam sepanjang hari"
MENARIK DIBACA: Perlu teliti ketika membeli... Ini cara bezakan ciri ayam bangkai, disembelih ikut syarak
Craft Boss Croissant Latte dijual di beberapa kedai serbaneka dan pasar raya di Jepun menerusi rangkaian pengedaran produk kopi Suntory Boss sedia ada.
Kerjasama ini turut menawarkan menu istimewa di 19 cawangan Bread, Espresso & di beberapa kawasan di Jepun.
Menu berharga 900 yen (RM103) ini merangkumi croissant bersalut karamel madu dan mentega dibuat khas untuk dicelup ke dalam buih latte.
Lebih menarik, 100 pelanggan terawal di setiap cawangan yang memesan menu kolaborasi ini akan menerima sebotol Craft Boss Croissant Latte secara percuma.
Cawangan yang mengambil bahagian terletak di Tokyo, Kanagawa, Chiba, Kyoto, Osaka dan Okinawa dengan tawaran berkenaan bermula serentak dengan pelancaran minuman ini pada 10 November.
Kemunculan kopi berperisa croissant ini sekali lagi membuktikan kreativiti pengusaha makanan dan minuman di Jepun dalam menghasilkan gabungan rasa luar biasa.
