Anis Nabilah terima anugerah cef selebriti 2026 daripada World Gourmet
SATU lagi kejayaan membanggakan diraih personaliti kulinari terkenal negara, Chef Anis Nabilah apabila namanya diangkat sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 pada Anugerah World Top Gourmet ke-8 2026.
Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai bakat dan sumbangannya dalam dunia masakan, malah menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat Anis yang sudah melalui pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang bergelar cef.
Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin menerima anugerah berprestij itu pada majlis yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu.

Anis berkata, dia berasa amat bersyukur atas penghargaan diterima sepanjang berkecimpung dalam bidang kulinari.
"Terima kasih kepada World Gourmet kerana memilih saya sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026. Saya rasa sangat bersyukur dan terharu dengan penghargaan ini.
"Sepanjang perjalanan dalam bidang masakan, terlalu banyak pengalaman saya lalui dan ramai juga memberi inspirasi kepada saya.
MENARIK DIBACA: Kecoh jualan ayam tak halal, wanita kongsi pesanan rakan pegawai Jais
MENARIK DIBACA: UiTM, PKPS gilap bakat keusahawanan mahasiswa menerusi Dapur Ehsan
"Setiap peluang dan cabaran datang banyak membentuk diri saya sebagai seorang chef," katanya dalam satu kenyataan media.
Majlis Anugerah World Top Gourmet kali ke-8 2026 anjuran World Gourmet ini turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Hadir sama, dua ikon kulinari tersohor, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Master Chef Dr Martin Yan.
Majlis anugerah ini dianjurkan bagi meraikan kecemerlangan cef, usahawan serta jenama makanan dan minuman (F&B) dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, Anis Nabilah berkata masih banyak impian ingin dicapainya di samping mahu berkongsi minat dalam bidang kulinari dengan lebih ramai individu.
"Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja dan semua sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada saya.
"Saya sangat menghargai semua yang sentiasa ada dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini," kongsinya lagi.
