Coklat 'lenyap' dari rak, pasar raya di Perancis henti jualan gara-gara cuaca panas ekstrem
GELOMBANG haba yang melanda beberapa negara ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan dan aktiviti harian malah turut menjejaskan bekalan pelbagai produk makanan.
Di beberapa kawasan di Eropah, suhu dilaporkan mencecah 40 hingga 46 darjah celsius yang mencetuskan amaran cuaca ekstrem dan memaksa pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan risiko terhadap orang ramai.
Di media sosial, ramai berkongsi keadaan luar biasa akibat cuaca panas melampau itu termasuk papan lampu isyarat dan tayar kenderaan yang dilaporkan mencair.
Turut terkesan, produk makanan seperti coklat yang mudah terjejas apabila terdedah kepada suhu panas melampau.
Beberapa pasar raya di Perancis dilaporkan terpaksa menghentikan jualan coklat buat sementara waktu kerana bimbang produk tersebut rosak dan mencair akibat suhu terlalu tinggi.
Sekeping gambar yang tular di media sosial menunjukkan satu bahagian rak coklat kosong sepenuhnya.
Pihak pasar raya turut meletakkan notis memaklumkan bahawa mereka menghentikan sementara penjualan coklat sehingga cuaca kembali normal bagi memastikan produk yang dijual kekal berkualiti.

Pada mulanya, ramai menyangka coklat habis dibeli pelanggan namun sebahagian warganet mendakwa sempat melihat coklat mencair ketika dipamerkan di rak dalam kedai.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Coopérative U, Dominique Schelcher, masalah sebenar bukan berlaku di dalam pasar raya sebaliknya ketika proses penghantaran.
Dia menjelaskan syarikatnya telah menghentikan penghantaran coklat ke beberapa kawasan buat sementara waktu kerana produk itu tidak mampu menahan suhu panas sepanjang perjalanan.
"Memang benar, kami tidak lagi menghantar coklat ke beberapa kawasan sehingga diberitahu kelak kerana ia tidak tahan ketika diangkut dalam cuaca panas," katanya menerusi platform X.
MENARIK DIBACA: Hantar makanan di rumah orang lain, rider hati kering tak mengaku buat silap!
MENARIK DIBACA: Jurufoto tersinggung ditegur tuan rumah lepas ambil sebiji semperit - "Kalau tak dijemput, jangan makan"
Dominique berkata, coklat sebenarnya merupakan antara produk yang paling sukar dikendalikan dari segi logistik kerana ia sangat sensitif terhadap perubahan suhu.
Katanya, struktur coklat bergantung kepada keseimbangan suhu yang stabil.
Jika suhu melebihi 25 darjah celsius, coklat akan mula mencair serta hilang tekstur rangup apabila dipatahkan dan mengalami keadaan dikenali sebagai 'fat bloom' iaitu mentega koko naik ke permukaan sehingga menyebabkan coklat kelihatan putih.

Sebaliknya, jika suhu terlalu rendah ia akan mengalami perubahan suhu secara mendadak akan menghasilkan wap air yang menyebabkan fenomena 'sugar bloom'.
Keadaan itu membuatkan gula pada permukaan coklat larut sebelum mengeras semula mengakibatkan teksturnya kasar dan mudah patah.
Susulan itu, ramai netizen mencadangkan supaya coklat dihantar menggunakan lori sejuk beku.
Bagaimanapun, Dominique menjelaskan kaedah itu juga bukan penyelesaian kerana suhu yang terlalu rendah boleh merosakkan kualiti coklat.
Jelasnya, coklat perlu diangkut pada suhu yang stabil antara 12 hingga 18 darjah celsius tanpa perubahan suhu yang ketara.
"Sebab itu penghantaran coklat bukan perkara mudah. Pengendali logistik perlu memastikan suhu sentiasa berada pada tahap yang tepat sepanjang perjalanan," katanya sambil memuji usaha syarikat pengangkutan yang mengendalikan produk tersebut.