The Rock Chilli Queen ajar ibu mentua makan budu, puji rasanya lagi sedap daripada cincaluk - “Lepas ni auto kecek Klate”
SIAPA tidak mengenali dengan pempengaruh masakan popular iaitu The Rock Chilli Queen yang cukup popular menggunakan cili habanero dalam masakannya.
Pemilik nama sebenar Adilah Sainer yang kini menetap di Virginia, Amerika Syarikat tidak pernah gagal menarik perhatian pengikutnya kerana juadah dihasilan unik dengan cara tersendiri.
Baru-baru ini, wanita kepada dua cahaya mata ini menuai perhatian apabila berkongsi video memaparkan gelagat ibu mentuanya yang juga seorang warganegara Jerman menikmati hidangan ikonik Kelantan iaitu budu.
Menerusi video yang dikongsikan Adilah dalam Instagram miliknya, kelihatan wanita berusia 44 tahun itu sedang menyiapkan hidangan berupa jantung pisang yang direbus dan dimakan bersama ikan panggang dan timun.

"Hari ini saya akan tunjukkan kepada mama (ibu mentua) cara makan jantung pisang," kata Adilah yang turut memberitahu ibu mentuanya tidak pernah melihat jantung pisang di Jerman.
Sebagai pelengkap, Adilah turut menyediakan budu yang dicampur bersama tempoyak, hirisan bawang, jus limau serta cili habanero yang menjadi identiti dalam masakannya.
Ketika merasai sedikit hidangan diperbuat daripada ikan bilis yang diperam itu, ternyata ibu mentuanya sangat menyukai makanan unik tersebut.
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi mi segera bujang ini, tambah cili padi dan telur mata memang ngam!
MENARIK DIBACA: Lembut berinti kelapa, kuih bunga pudak penuh nostalgia
Malah wanita yang dianggarkan berusia sekitar lewat 80-an itu menyifatkan budu memiliki rasa lebih sedap berbanding cencaluk.
"Saya suka budu, rasanya lebih sedap berbanding cencaluk," katanya.
Perkongsian bekas pramugari itu sekali gus menarik perhatian pengikutnya dalam Instagram apabila rata-rata memuji sifat ibu mentuanya kerana berani mencuba makanan baharu.

Malah, ada berseloroh apabila mengusik tidak mustahil ibu mentuanya boleh bertutur dalam dialek Kelantan selepas ini.
"Hebat ibu mentua awak sebab berani mencuba makanan baharu.
"Nampak relaks ibu mentua awak makan budu dengan jantung pisang. Terbaik!" tegur seorang lagi netizen.
"Lepas ni boleh kecek (cakap) Kelantan laaa," kata pengikutnya.