‘Corncong’ buat ramai tak kering gusi, jagung bakar dibalut macam pocong
PERKONGSIAN seorang pengunjung mengenai jagung bakar yang dibeli membuatkan netizen geli hati dengan nama dan rupa makanan berkenaan.
Dengan sekelip mata juga, restoran yang terletak di Bagan Serai, Perak itu turut menjadi tular dalam sekelip mata.
Mana tidaknya, jagung bakar bersama sos bawang putih berkenaan diberi nama corncong kerana penampilan unik yang dibalut seperti pocong.
Biarpun kelihatan pelik dan menyeramkan, konsep menu ini membuatkan ramai teruja untuk mencubanya sendiri.

Perkongsian dibuat oleh Haifa Mohamed menerusi status di laman Threads, apabila wanita ini menceritakan pengalamannya keluar mencari kopi di sekitar kawasan kampung.
Namun, wanita ini diberikan kejutan apabila menerima tawaran makanan percuma dari kedai yang dikunjunginya.
“Cuba cari kopi di kawasan kampung dan terjumpa sebuah kedai berhampiran SK Teluk Medan, Bagan Serai.
MENARIK DIBACA: Peniaga tergamam individu minta 'sponsor' 180 pek tiramisu, beri alasan permintaan majikan - “Bos semua cakap sedap”
MENARIK DIBACA: Dua tahun beroperasi, Shiha Zikir tutup kedai nasi ayam cawangan Shah Alam
“Air dah siap, terus dapat tawaran makanan percuma, corncong. Ditanya balik kerana kurang dengar, selamba peniaga jawab corncong.
“Apabila diamati makanan diberi, rupanya seperti pocong dan saya berdekah ketawa,” kongsinya.
Haifa menambah, sejurus masuk ke kereta, dia menyedari straw minuman yang diberikan juga sangat panjang.

“Dah masuk kereta, dapat straw bukan main panjang. Saya rasa kedai ni memang lucu,” katanya.
Perkongsian ini mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna maya malah seorang lelaki dipercayai pemilik kedai, Khairul Izzat, turut membalas komen.
Dia menjelaskan nama menu dibeli dari Kedai Ocong, sebenarnya adalah Jagung Ocong.

“Menu ini sebenarnya adalah jagung bakar bersama sos bawang putih memberikan rasa unik.
“Tapi nama Corncong pun comel juga.
“Straw pula sengaja dibuat panjang, ibarat menyedut minuman sampai ke pinggang,” katanya sengaja memilih konsep kedai ‘pocong’ untuk kelainan.

Fenomena ini mencetuskan gelak tawa dalam kalangan pengguna maya.
Malah, ada yang mencadangkan agar nama Jagung Ocong ditukar kepada corncong kerana bunyinya lebih lucu dan mudah diingati.
“Dah boleh tukar nama menu kepada corncong, senang nak ingat.
“Menariknya, tak pernah rasa jagung bakar dengan sos bawang putih,” antara komen netizen.