Chef Dave perbetul salah faham tentang vegan, mahu popularkan gaya hidup sihat
PENAMPILAN cef yang juga pengamal diet vegan, Chef Dave yang 'berisi' kerap dijadikan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Ada tergamak mempersendakan amalan diet berasaskan tumbuh-tumbuhan diamalkan Dave yang dianggap tidak berjaya malah penyebab berat badannya terus mendadak naik.
Namun, cef yang mula dikenali menerusi siaran Chef Dave Vegan Journey itu tidak cepat melatah sebaliknya terpanggil untuk menjelaskan salah faham tentang amalan vegan.
Pemilik nama sebenar Kalideven Murugaya itu memberitahu, perjalanan vegan bukan sekadar tentang pilihan pemakanan sebaliknya misi memperbaiki kesihatan diri dan masyarakat sekeliling.

“Hampir enam tahun, netizen pertikaikan saiz badan dan saya faham mereka sebenarnya kurang diberikan pendedahan berkenaan diet berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Mereka beranggapan bahawa pengamal diet vegan seharusnya langsing kerana hanya mengambil makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan saja.
“Banyak faktor mendorong kepada obesiti termasuk gaya hidup, cara pemakanan dan sejarah kesihatan serta keluarga,” katanya ketika ditemui Kuali.
MENARIK DIBACA: ‘Mola-mola’ hanya buat video masak, sekarang Kakcik Yah sibuk reviu makanan... Ada sanggup datang rumah hantar produk!
MENARIK DIBACA: Keputusan tinggalkan karier doktor akhirnya ada kemanisan, gerai nasi padang pemuda ini kini jadi sebutan ramai
Gaya hidup sihat tiada kompromi
Ujar anak kelahiran Jementah, Johor itu, cara olahan makanan dan waktu makan tidak teratur antara faktor berat badan seseorang bertambah.
Chef Dave yang cukup dikenali kerana fasih berbahasa Melayu menegaskan diet vegan tidak semestinya bermakna makan segala-galanya tanpa kawalan.
“Jika makanan vegan diproses dengan banyak minyak, gula atau garam dihidang dalam kuantiti besar boleh menyebabkan pertambahan berat badan.
Diet vegan tidak semestinya bermakna makan segala-galanya tanpa kawalan.
CHEF DAVE
Cef dan Aktivis Vegan
“Contohnya, makanan vegan gorengan, kek atau makanan segera dibuat dari bahan tumbuhan tetap tinggi kalori dan kurang berkhasiat,” katanya kini rancak membukukan perjalananya untuk dijadikan sebuah siri rancangan realiti.
Buat penerima anugerah Asia’s Best Vegan Chef Creative Influence (2023) itu, waktu makan memainkan peranan penting.
Disiplin diri
Semangat Chef Devan mengamalkan gaya hidup vegan bermula dari dirinya sendiri, apabila menyedari perubahan diet mampu memberikan impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan.

“Makan lewat malam atau tidak mengawal waktu makan boleh mengganggu metabolisme dan menyebabkan penimbunan lemak.
“Macam saya sendiri, pola makan tidak teratur antara punca kegemukan.
“Jadi, mengutamakan makanan segar dan kurang diproses serta kawalan posisi makanan antara elemen perlu dipantau supaya badan kekal sihat dan cergas,” tegas pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Trinity Saint David University, Wales, United Kingdom itu.

Aspirasi banteras obesiti
Dalam konteks Malaysia sedang bergelut dengan masalah obesiti, inisiatif cef itu mempopularkan gaya hidup sihat vegan memberikan alternatif penting.
Katanya, gaya hidup vegan dapat membantu mengawal berat badan juga menurunkan risiko penyakit tidak berjangkit berkait rapat dengan obesiti.
“Ramai yang fikir vegan itu susah, membosankan atau tak lengkap nutrisi.
“Saya buktikan menerusi rekaan sedap dan berkhasiat malah ‘Instagrammable’ sesuai untuk generasi muda suka bergaya, tapi tetap jaga kesihatan,” ujarnya kreatif menghasilkan sajian vegan versi masakan Melayu.

Mewujudkan perubahan berterusan
Cef itu juga bertindak sebagai aktivis kesihatan bersemangat memperkenalkan gaya hidup vegan sebagai cara untuk tubuh lebih bertenaga, sihat dan juga mesra alam.
“Perubahan bermula dengan langkah kecil dan berterusan. Saya cuba dekati komuniti menerusi program pendidikan pemakanan di sekolah dan menggalakkan dasar menyokong inisiatif gaya hidup sihat.
“Dengan pendidikan dan makanan yang enak, kita boleh mengubah masa depan negara ke arah lebih sihat,” katanya.
Dengan pengaruhnya dalam media sosial, televisyen dan komuniti, Chef Devan terus menggalakkan masyarakat mencuba resipi berasaskan tumbuhan yang mudah, lazat dan sihat.

Beliau menghubungkan tradisi kulinari dengan pendekatan moden lebih sihat tanpa mengorbankan cita rasa.
“Buat mereka mahu cuba, jangan terlalu ikut tekanan media sosial atau trend.
“Mulakan perlahan-lahan, cari makanan digemari dan sesuai dengan tekak. Jangan takut mencuba
“Paling penting, jaga kesihatan dan nikmati proses dengan mempelbagaikan pilihan tersedia,” katanya turut perkenalkan budaya makan vegan mudah.