Atikah Suhaime masak sup ekor resipi arwah datuk, ada memori di sebalik sajian - "Semakin hari makin masin"
SUP ekor atau oxtail soup menjadi antara hidangan paling dekat di hati Datin Atikah Suhaime kerana sajian itu menyimpan 1,001 kenangan bersama arwah datuknya.
Menurut Atikah, walaupun insan kesayangannya itu sudah tiada namun kasih yang dicurahkan masih dapat dirasai menerusi makanan yang pernah dimasak.
"Ini hidangan kegemaran saya. Saya sedar walaupun atuk dah tak ada, kasih sayang tetap boleh diwariskan melalui makanan," katanya.
Mengimbau memori bersama arwah, Atikah berkata datuk tetap berusaha menyediakan sup ekor untuknya walaupun ketika itu sedang uzur.
"Saya masih ingat waktu arwah atuk dah sakit, dia masih masakkan sup ekor untuk makan tengah hari saya.
"Semakin hari semakin masin, mungkin sebab deria rasanya dah tak begitu kuat masa sakit. Tapi saya tetap makan sebab happy sangat atuk yang masakkan.
"Masa itu mama dan papa pula sibuk bekerja," dia mengimbas memori silam bersama datuk.
Bagi Atikah, setiap kali menikmati sup ekor, hidangan itu tidak sekadar menjadi menu kegemarannya, malah satu simbol kasih sayang arwah datuk yang sentiasa terpahat di hati.
Kini dia menggunakan resipi yang sama apabila memasak untuk keluarga dan ia turut menjadi kegemaran anaknya.
Tidak lokek berkongsi resipi, Atikah turut memuat naik cara penyediaan sup ekor itu di akaun TikTok miliknya.

Bahan-bahan
- 1.5 kilogram ekor lembu bersama daging
- 2 sudu makan minyak zaitun
- 2 batang saderi
- 2 biji tomato
- 2 batang lobak merah
- 2 biji kentang
- 2 biji bawang merah
- 4-5 ulas bawang putih
- 1 paket sup bunjut
- Garam secukup rasa
- Daun bawang
MENARIK DIBACA: 'Terbang' RM2,000, individu terkejut kena kompaun berniaga dari rumah - "Bau ayam goreng masuk rumah jiran"
MENARIK DIBACA: Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
Cara penyediaan
- Rebus ekor lembu bersama daging selama kira-kira empat jam sehingga empuk. Simpan air rebusan.
- Panaskan minyak zaitun, kemudian tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris sehingga naik bau.
- Masukkan saderi, tomato, lobak merah dan kentang, kemudian gaul sehingga sedikit layu.
- Tuang air rebusan bersama ekor lembu ke dalam periuk.
- Masukkan sup bunjut dan biarkan mereneh selama kira-kira sejam supaya semua bahan sebati.
- Perasakan dengan garam secukup rasa dan tabur daun bawang, siap untuk dihidang.