Goreng garing, warna keemasan... Terliur tengok hasil air tangan Tokti! Ini fakta menarik ikan lais
MUNGKIN ramai tak pernah kenal, jauh sekali merasai keenakan sejenis ikan dikenali sebagai ikan lais.
Perkongsian video Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam InstaStory miliknya ternyata menarik perhatian apabila penyanyi tersohor Malaysia itu menyediakan hidangan ikan lais goreng.
Dalam video tersebut, Siti atau mesra disapa Tokti menunjukkan ikan lais atau juga dipanggil ikan lumi di sesetengah kawasan kepada pengikutnya di media sosial.
"Inilah ikan sungai kegemaran saya. Saya panggil ikan 'botok'.
"Tapi nama sebenarnya ikan lais. Bentuknya kurus je dan isinya manis sangat.
"Goreng garing-garing guna kunyit dan garam, sedap yang amat!" kongsinya.

Menerusi carian Kuali, ikan lais merupakan ikan air tawar tempatan yang sering ditemui di sungai-sungai sekitar Semenanjung Malaysia dan sebahagian kawasan di Borneo.
Selain digoreng garing, ikan dengan ciri-ciri fizikal berbadan pipih (nipis), berwarna putih perak dan tidak mempunyai sirip belakang ini sangat popular dalam masakan Melayu seperti salai atau masak lemak tempoyak.
MENARIK DIBACA: [V] Tokti penggemar ikan sungai, malu-malu mengaku handal masak patin tempoyak - "Level kepakaran 9 per 10"
MENARIK DIBACA: Pertama kali 'dating', pemuda geram kenalan wanita 'order' macam-macam! Anggap tiada 'common sense'
Keunikan ikan lais bukan sahaja terletak pada fizikalnya, tetapi juga isinya yang manis secara semula jadi serta lembut.
Sebagai ikan sungai liar, ia sering menjadi buruan penggemar ikan sungai kerana isinya yang berlemak dengan rasa premium.
Paling utama, ikan lais tidak memiliki tulang-tulang halus dan tidak berbau hanyir lumpur kerana habitatnya di perairan sungai bersih yang mengalir.

Masakan paling popular ikan lais:
Goreng garing
- Untuk mengekalkan rasa manis semula jadi, penggemar ikan lais biasanya memasak ikan ini dengan cara menggoreng sehingga garing. Gaulkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit, lalu goreng sehingga rangup.
Masak lemak cili api/tempoyak
- Gabungan rasa pedas, masam tempoyak dan manis isi ikan membangkitkan lagi selera.
Ikan lais salai
- Ikan yang telah dicuci bersih akan disalai untuk membangkitkan aroma asap yang wangi sebelum dimasak gulai.