Mangga kering banyak manfaat, nak selamat pilih tanpa gula tambahan dan pengawet
KEGILAAN terhadap buah mangga kering semakin menjadi-jadi sejak ia kembali popular di media sosial.
Mana tidaknya, hampir setiap hari pasti ada sahaja video ulasan atau 'review' snek tersebut dikongsikan pengguna di laman TikTok.
Tidak hairanlah, ramai peniaga mula mengambil peluang menjual produk tersebut memandangkan ia kini sedang laku keras di pasaran.

Namun di sebalik popularitinya, ramai tidak tahu sebenarnya mangga kering merupakan makanan ringan atau snek sihat sesuai sebagai alternatif berbanding makanan ringan yang lain.
Menurut portal kesihatan Helo Medik, mangga kering mengandungi pelbagai khasiat penting yang dipercayai mampu membantu melindungi tubuh daripada penyakit berkaitan kanser.
Antara nutrien utama terdapat dalam mangga kering ialah vitamin C, yang berperanan memperbaiki kesihatan kulit, menguatkan sistem imun dan bertindak sebagai antioksidan semula jadi.
Ia turut mengandungi vitamin A, E dan K, yang menyokong fungsi penglihatan, kesihatan jantung serta membantu mengekalkan kekuatan tulang.
MENARIK DIBACA: Macam lepak dekat kopitiam, AirAsia hidang menu baharu sempena bulan Kemerdekaan
MENARIK DIBACA: [V] Gabungan dua dalam satu, letupan rasa matchamisu buat ramai mula ketagih
Namun, berbeza dengan mangga segar, proses pengeringan atau penyahidratan boleh menjejaskan sebahagian kandungan nutrisinya.
Sebagai contoh, nutrien yang sensitif terhadap haba seperti beta-karotena boleh merosot sehingga 53 peratus menyebabkan manfaat kesihatannya turut berkurangan.
Selain itu, kandungan gula semula jadi dalam mangga kering yang lebih pekat, menjadikannya snek itu perlu dinikmati secara sederhana – terutamanya bagi penghidap diabetes.
Lebih membimbangkan, sesetengah produk mangga kering turut mengandungi bahan pengawet seperti sulfur dioksida dan kalium metabisulfit, yang ditambah bagi mengekalkan warna dan kesegaran produk.

Bagi penghidap asma, resdung atau alahan, bahan-bahan ini berisiko mencetuskan tindak balas alergi seperti sesak nafas, ruam kulit atau iritasi pada saluran pernafasan.
Terdapat tiga tip penting yang perlu diberi perhatian ketika memilih mangga kering sihat termasuk menyemak label dan elak produk dengan kandungan gula tambahan, sirap atau jus.
Sebaiknya, pilih produk dengan satu bahan sahaja iaitu mangga tanpa sebarang pemanis atau pengawet.