Rendang daging Padang buat Nazia Mustafar jatuh cinta, bertahun cuba hasil resipi sama... Kini masak hampir 1 tan sebulan buat pelanggan

KEENAKAN rendang memang tidak perlu dipertikaikan lagi malah ia antara juadah istimewa yang dihidangkan ketika hari raya atau majlis perkahwinan.
Buktinya, hidangan nusantara itu diiktiraf sebagai 50 juadah paling lazat di dunia oleh agensi berita antarabangsa, CNN Travel.
Bagai pelakon dan usahawan Nazia Mustafar, dia adalah penggemar berat menu tersebut dan menjadi sebahagian dalam hidupnya.
Nazia ketika ditemui Kuali di restoran miliknya iaitu Rumah Makan Selebriti di Seksyen 13, Shah Alam mengakui rasa cinta terhadap rendang membuatkan dia tidak memandang lauk lain jika juadah itu terhidang di depan mata.

"Saya memang sangat suka makan rendang. Kalau pergi kedai makan, saya tak cari lauk lain selain rendang.
"Kalau nampak rendang, saya akan terus ambil tak kira rendang ayam atau daging. Saya tidak akan campur dengan lauk lain, nanti jadi tak sedap," kata anak jadi kelahiran Kuala Lumpur itu.
Mewarisi darah tukang masak daripada kedua-dua orang tuanya, Nazia atau Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 44, akhirnya mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan menjual rendang secara kecil-kecilan sekitar 14 tahun lalu.

"Disebabkan ibu bapa saya menjual makanan, jadi minat itu menurun pada saya. Saya memang suka memasak terutama rendang.
"Rendang yang saya jual ketika itu adalah resipi turun-temurun daripada nenek saya dari Negeri Sembilan namun pada masa sama, saya mencari resipi rendang paling sedap," kata pelakon filem Baik Punya Cilok itu.
Sehinggalah suatu hari Nazia menemui rendang paling sedap yang dicari selama ini ketika berada di Bukit Tinggi, Padang, Indonesia kerana terlibat dengan penggambaran di sana.
Pelakon dengan perwatakan ceria itu merasai keenakan rendang tersebut ketika diundang ke sebuah majlis perkahwinan seorang kenalannya di sana.
MENARIK DIBACA: Tak sia-sia belajar dari YouTube Che Nom, rendang air tangan Nikki Palikat paling sedap!
MENARIK DIBACA: Sate kangkung viral di negara jiran, sayur dipanggang bersama sos pedas manis menggoda selera
"Antara juadah dihidangkan di majlis perkahwinan tersebut ialah rendang daging yang dimasak bersama ubi kentang. Rasanya sangat sedap sehingga saya tak boleh lupa sampai sekarang.
"Saya tanya dengan orang tempatan resipi rendang tersebut dan hanya mengingat bahan-bahan dan langkah penyediaan dalam kepala.
"Nak dijadikan cerita, bila balik Malaysia saya langsung terlupa resipi yang diajarkan itu," katanya.
Kalau pergi kedai makan, saya tak cari lauk lain selain rendang.
Nazia Mustafar
Pelakon, usahawan
Dek jatuh cinta dengan keenakan rendang asal Padang itu, Nazia tidak berputus asa apabila melakukan eksperimen dan percubaan selama bertahun-tahun sehingga mendapat rasa rendang persis seperti dia makan semasa di Indonesia.
"Saya olah semula rendang resipi keluarga sehingga dapat rasa rendang yang saya inginkan. Inovasi inilah menjadi resipi kepada rendang saya hari ini
"Alhamdulillah, dengan resipi itu jugalah lahirnya Rendang Cinta Hati yang saya usahakan sekarang," kongsi Nazia.
Ketika ditanya tentang ciri-ciri rendang yang enak, jawab Nazia adalah cukup rasa iaitu ada rasa pedas dan berempah.

"Macam rendang saya, bila orang makan, memang agak berbeza dengan rendang yang lain. Bukan saya nak kata rendang orang lain masak tak sedap.
"Cuma rasa rendang saya berbeza walaupun menggunakan bahan-bahan yang sama," kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu.
Berbekalkan satu kuali bersaiz sederhana, kini Nazia tidak menang tangan apabila perlu memasak sehingga sembilan kuali rendang untuk memenuhi tempatan pelanggan, terutama ketika menjelang hari raya.
"Kalau hari raya, saya akan menerima tempahan sehingga1,500 kilogram (kg) rendang. Hari biasa pula antara 700kg hingga 800kg sebulan," ujar Nazia yang telah menjenamakan semula rendangnya sebagai Rendang Kasih.