Kebab daging guna roti siap tak sampai 10 minit, boleh buat bekal untuk suami dan anak
BAGI wanita yang perlu siapkan bekal untuk anak dan suami pada waktu pagi, menu kebab roti ini memang sesuai dicuba.
Bukan sahaja mudah disediakan, bahan-bahannya juga ringkas dan menjimatkan.
Lebih menarik, kebab roti ini boleh disiapkan dalam masa kurang 10 minit.
Resipi perkongsian Nur Saleza Salleh di laman Facebook ini menggunakan roti putih sebagai pengganti roti kebab.
"Tak sampai 10 minit siap. Selalu tengok orang tekap roti tu jadi bulat. Saya sayang tepi-tepi jadi saya kepit dua keping roti dan potong tiga segi. Tepi-tepi tu saya tekan dengan garfu. Sapu planta sikit, bakar sekejap atas pan," katanya.

Bahan-bahan
- 2 keping roti putih
- Sedikit marjerin
- 1 keping daging burger
- 1/2 biji bawang Holland, dicincang
- Sedikit timun, dipotong kecil
- Sedikit tomato, dipotong kecil
- Sos cili secukupnya
- Mayonis secukupnya
- Sedikit serbuk lada hitam
- Sedikit garam
MENARIK DIBACA: Asyik masak sambal, cuba buat terung sumbat pula! Mungkin jadi lauk kegemaran
MENARIK DIBACA: Ban gebu, krim kastard meleleh cuma masak guna kuali... Senang, sesiapa pun boleh buat
Cara penyediaan
- Hancurkan daging burger dan tumis bersama bawang Holland yang telah dicincang sehingga daging masak dan bawang menjadi sedikit layu.
- Masukkan timun dan tomato yang telah dipotong kecil. Gaul dan tumis seketika.
- Tambahkan sos cili dan mayonis secukupnya. Perasakan dengan sedikit garam dan serbuk lada hitam.
- Gaul semua bahan sehingga sebati dan masak seketika. Tutup api dan ketepikan inti.
- Ambil dua keping roti putih dan kepitkan kedua-duanya. Potong secara menyerong menjadi bentuk tiga segi.
- Tekan bahagian tepi roti menggunakan garfu supaya kedua-dua keping roti melekat dan membentuk poket.
- Sapu sedikit marjerin pada bahagian luar roti. Bakar atas pan sehingga kedua-dua bahagian roti sedikit garing dan keperangan.
- Selepas roti dibakar, buka bahagian yang bercantum dan masukkan inti kebab yang telah dimasak tadi.
- Siap! Kebab roti putih boleh terus dihidangkan ketika masih suam.