Sedapnya menu unik sotong ketupat Thai, gabungan rasa manis dan lemak santan
SOTONG ketupat Thai merupakan antara hidangan pencuci mulut unik kerana menggabungkan bahan laut dengan rasa manisan tradisional.
Kombinasi sotong bersama pulut menghasilkan tekstur sangat menarik dan berbeza daripada kuih biasa.
Apabila dipotong, bahagian pulut yang padat di dalam sotong kelihatan seakan-akan ketupat, sekali gus memberikan nama kepada hidangan ini.

Ditambah pula dengan kuah santan harum dengan daun pandan, menghasilkan gabungan rasa yang kaya dan memikat selera.
Tak hairanlah menu dikongsikan akak.founder sering dijadikan hidangan istimewa atau pencuci mulut tradisional memikat. Jom cuba.
Bahan-bahan
- 6 ekor sotong sederhana (dibersihkan)
- 1/2 cawan beras pulut
- 1 cawan santan pekat
- 1/2 cawan air
- 3 sudu besar gula melaka (dipotong kecil)
- 3 helai daun pandan
- 1/2 sudu kecil garam
MENARIK DIBACA: Resipi ayam percik guna oven, sama sedap macam beli dekat pasar malam!
MENARIK DIBACA: Resipi bingka tepung beras tak lapuk dek zaman
Langkah penyediaan
1. Sediakan pulut
Campurkan beras pulut bersama sedikit santan dan garam dalam satu mangkuk.
Tambah sedikit air dan biarkan kira-kira 10 hingga 15 minit supaya pulut sedikit lembut.
2. Bersihkan sotong
Basuh sotong hingga bersih dan keluarkan bahagian dalamnya.
Asingkan kepala sotong tetapi jangan dibuang.
3. Sumbat pulut ke dalam sotong
Masukkan beras pulut yang direndam tadi ke dalam badan sotong (jangan terlalu penuh kerana pulut akan mengembang).
Kemudian letakkan semula kepala sotong sebagai penutup.
4. Masak kuah santan
Dalam periuk berasingan, panaskan santan bersama gula melaka dan daun pandan sehingga gula melaka larut.
5. Rebus sotong
Masukkan sotong disumbat pulut ke dalam kuah santan dan rebus kira-kira 30 minit sehingga pulut masak dan kuah sedikit pekat.
6. Hidangkan
Angkat sotong dan dihidangkan bersama kuah santan yang lemak manis.