Nampak macam sama tapi singgang dan asam rebus ada perbezaannya
MASAK singgang antara makanan popular dari Pantai Timur khususnya Kelantan tapi terdapat satu lagi hidangan yang tak kalah enaknya iaitu asam rebus.
Walaupun cara memasak kedua-dua hidangan ini hampir sama namun asam rebus memiliki kelainan dan keunikan tersendiri termasuklah rasa dan warna kuahnya.
Jika singgang lazimnya dimasak dengan ikan tongkol dan berwarna jernih keputihan, asam rebus pula memiliki warna kuning kemerahan dengan kombinasi rasa masam dan pedas.
Jika singgang popular di Pantai Timur, asam pedas pula cukup popular di bahagian Utara tanah air.
MENARIK DIBACA: Mampu ingat resipi tanpa dicatat, Fazley Yaakob miliki otak ‘photographic memory’
MENARIK DIBACA: Burger bergedil tuna memang unik, alternatif sihat tapi mengenyangkan
Asam rebus juga popular di bahagian Sumatera Barat di Indonesia selain Thailand yang dikenali sebagai Kaengsom.
Bagi anda yang tidak pernah merasai asam rebus, Kuali kongsikan resipi ini untuk anda.
Apa yang menarik, asam rebus ini sangat menyihatkan kerana tidak menggunakan minyak ketika dimasak.
Bahan-bahan
Bahan A
- 1 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 3 tangkai cili merah
- 5 tangkai cili padi
- 1 1/2 inci kunit hidup
- 1/2 inci halia
Bahan B
- 5 ekor ikan kembong (dibersihkan)
- 5 tangkai bendi
- 1 biji tomato (dibelah empat)
- Daun kesum
- 1 cawan air
- Asam keping
- Garam
- Gula
- Penyedap rasa
Langkah penyediaan
- Kisar semua bahan A sehingga halus.
- Panaskan kuali dan tumis bahan yang dikisar (tanpa minyak).
- Apabila mula mendidih, masukkan satu cawan air dan biarkan seketika sehingga bahan kisar betul-betul masak.
- Masukkan ikan kembong yang telah dibersihkan bersama asam keping dan biarkan seketika
- Perasakan dengan garam, gula dan penyedap rasa secukupnya.
- Masukkan daun kesum, tomato dan bendi.
- Siap untuk dihidangkan.