Sotong pedas sedap ala kenduri memang sedap, rahsianya kena tumis lama baru mengancam
PERNAH tak tiba-tiba tekak teringin sangat mahu makan lauk kenduri rasanya padu, berempah dan membuatkan makan bertambah-tambah?
Salah satu lauk yang sering mencuri perhatian di majlis rewang atau kenduri kampung ialah sotong masak pedas.
Kuahnya pekat, pedas-pedas manis dan aroma tumisannya memang boleh membuatkan perut berkeroncong walaupun baru lepas makan.
Kini hidangan lauk ini sudah semakin jarang muncul dalam senarai hidangan kenduri moden.

Mungkin disebabkan kos sotong yang mahal, ramai tidak memilih menu menyelerakan ini.
Tapi kalau di kampung terutamanya sewaktu rewang atau kenduri kecil-kecilan, lauk ini masih jadi rebutan.
Kali ini, anda tak perlu bersusah payah kerana hidangan ini boleh dimasak sendiri dan rasa kesedapannya boleh lawan lauk katering juga.
Rahsianya? Tumisan sambal yang dimasak lama sampai pecah minyak disertakan dengan bahan-bahan cukup rasa seperti belacan. Memang terangkat!
MENARIK DIBACA: Roti ‘expired’ jangan dibuang, penyelamat serap bau busuk peti sejuk
MENARIK DIBACA: Kafe ‘muslim friendly’ berdekatan LRT dan MRT... Pelbagai pilihan menu, harganya pula mesra poket
Bahan-bahan:
- 500g sotong
- 1 biji bawang besar dihiris halus
- 3 ulas bawang putih dicincang
- 2 batang serai dititik
- 2 helai daun limau purut
- 2 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu kecil gula/ gula melaka
- Garam secukup rasa
- 10 tangkai cili kering
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- Belacan
Langkah penyediaan:
- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
- Masukkan bawang besar hiris, serai dan daun limau purut. Tumis lagi sehingga wangi.
- Masukkan sos cili, sos tiram, garam dan gula.
- Boleh tambahkan belacan penyedap rasa jika suka. Kacau rata sampai kuah nampak pekat dan berkilat.
- Masukkan sotong dan masak sekejap sahaja lebih kurang 3-5 minit. Jangan terlalu lama nanti sotong jadi liat.
- Rasa dan seimbangkan garam dan manis kuah. Siap untuk dihidang!