Ketahui perbezaan 6 jenis bawang, kesesuaiannya dengan masakan
BAWANG merupakan antara bahan asas dalam masakan yang sentiasa berada setiap dapur setiap rumah.
Walaupun nampak kecil dan biasa, bawang memainkan peranan penting dalam menghasilkan aroma dan menyumbang kepada keenakan pelbagai jenis masakan.
Menariknya, tidak semua bawang mempunyai rasa dan kegunaan yang sama.
Setiap jenis bawang memiliki rasa berbeza, sekali gus menyebabkan setiap apa yang dimasak memerlukan bawang sesuai bagi mendapatkan keenakan maksimum.
Jadi untuk masakan seterusnya, jom kenali beberapa jenis bawang serta hidangan yang paling sesuai dengannya.

1. Bawang merah
Bawang merah merupakan bawang paling popular dalam masakan. Saiznya lebih kecil berbanding bawang besar dan mempunyai rasa sedikit manis serta pedas.
Bawang ini menjadi bahan asas dalam pelbagai masakan seperti sambal, sambal tumis, kari, masak lemak, sup dan masakan berempah.
Dari segi nutrisi pemakanan, bawang merah mengandungi vitamin C, serat serta sebatian tumbuhan seperti flavonoid dan sulfur yang mempunyai sifat antioksidan.
Masakan sesuai: Sambal, sambal tumis, kari, masak lemak, sup, rendang, gulai dan tumisan.

2. Bawang besar (kuning)
Bawang besar kuning mempunyai rasa yang lebih lembut dan sedikit manis, terutama selepas dimasak.
Disebabkan rasanya yang tidak terlalu kuat, bawang jenis ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan.
Apabila ditumis atau dimasak dalam tempoh yang lama, gula semula jadi terkandung dalam bawang akan menghasilkan rasa manis dan aroma yang lebih kuat.
Hebatnya, bawang ini juga mengandungi vitamin C, serat serta sebatian antioksidan seperti quercetin.
Masakan sesuai: Sup, stew, sos, burger, masakan berkuah, nasi goreng, mi goreng dan masakan tumis tertentu.

3. Bawang besar (merah)
Bawang besar merah atau 'red onion' mempunyai warna merah keunguan yang menarik dengan rasa sedikit pedas.
Bawang jenis ini juga mempunyai tekstur yang rangup apabila dimakan mentah.
Bawang besar sesuai digunakan untuk hidangan seperti salad, sandwic dan burger kerana memberikan sedikit rasa pedas serta kesegaran.
Masakan sesuai: Salad, sandwich, burger, kerabu, salsa, acar, salad mangga dan hidangan yang menggunakan bawang mentah.
MENARIK DIBACA: Tip makan bawang putih mentah... Kurang rasa pedas, bau pun tak kuat sangat
MENARIK DIBACA: Tip mudah simpan bawang supaya tahan lama, cuma guna tisu dan serbuk teh

4. Bawang putih
Walaupun saiznya kecil, bawang putih mempunyai aroma dan rasa yang sangat kuat.
Menariknya, bawang putih merupakan antara bahan paling penting dalam masakan Asia, termasuk masakan Melayu.
Bawang putih biasanya diketuk, dicincang, dihiris atau dikisar sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
Apabila ditumis bersama bawang merah dan halia, aroma masakan akan menjadi lebih wangi.
Masakan sesuai: Nasi goreng, mi goreng, sup, sambal, tumisan, ayam, makanan laut, sos dan perapan.

5. Bawang Holland
Bawang Holland lazimnya mempunyai saiz yang lebih besar dengan kulit berwarna perang kekuningan.
Rasanya cenderung manis apabila dimasak dan teksturnya sesuai untuk hidangan yang memerlukan proses memasak lebih lama.
Ia antara pilihan yang baik untuk dijadikan asas sup, sos dan hidangan yang dimasak perlahan kerana rasanya semakin manis dan lembut apabila dimasak.
Masakan sesuai: Sup ayam, sup daging, stew, sos, kuah pasta, daging masak kicap dan tumisan.

6. Bawang Bombay
Bawang Bombay biasanya merujuk kepada bawang besar yang bersaiz lebih besar dan mempunyai rasa yang agak manis apabila dimasak.
Ia banyak digunakan dalam masakan Barat dan Asia kerana sifatnya yang boleh digunakan untuk pelbagai masakan.
Masakan sesuai: Burger, piza, pasta, sup, steak, kari, nasi goreng dan pelbagai hidangan tumisan.