Kepentingan cuci getah penutup periuk tekanan, ramai basuh luar je!
PERIUK tekanan (pressure cooker) memang banyak membantu kerja di dapur, terutama apabila mahu memasak daging, sup atau lauk dalam masa lebih singkat.
Bagaimanapun ketika mencuci, ada satu bahagian ramai terlepas pandang iaitu getah pada penutup periuk.
Getah atau gelang pengedap ini penting kerana ia membantu memastikan periuk dapat ditutup rapat dalam situasi tekanan.
Menurut laporan media, disebabkan kedudukannya di bahagian dalam penutup periuk ramai pengguna sekadar mencuci penutup tanpa menanggalkan getah tersebut.

Menerusi perkongsian seorang pengamal perubatan homeopati, Dr Tarang Krishna, getah ini perlu ditanggalkan dan dicuci secara berasingan kerana kerap terdedah kepada wap, kelembapan serta sisa makanan ketika periuk digunakan.
Apabila berlaku proses kelembapan, minyak atau sisa makanan terperangkap pada getah dan alurnya mengakibatkan kotoran serta bau kurang menyenangkan.
Jadi, bahagian ini tidak sepatutnya dilupakan ketika mencuci periuk ini.
Berikut adalah cara membersihkan getah penutup periuk tekanan:
1. Cuci selepas setiap penggunaan. Bersihkan badan periuk, penutup dan bahagian boleh ditanggalkan menggunakan air suam serta cecair pencuci pinggan.
2. Tanggalkan getah pengedap. Keluarkan getah dari alur pada penutup dan cuci secara berasingan untuk menghilangkan kelembapan serta sisa makanan terperangkap.
MENARIK DIBACA: Pertandingan kek buruk asah kreativiti kanak-kanak! Juri perlu rasa geli, loya tekak
MENARIK DIBACA: [V] Yasin cerita pengalaman makan di penjara, kuah rasa air kosong - "Tak rindu langsung"
3. Bersihkan alur penutup. Lap bahagian alur tempat getah dipasang kerana sisa makanan boleh terkumpul di kawasan yang sukar dilihat.
4. Cuci injap tekanan. Periksa injap tekanan dan saluran wap secara berkala. Pastikan tiada sisa makanan menyumbat bahagian tersebut dan ikuti arahan pengeluar ketika membersihkannya.
5. Keringkan semua bahagian. Pastikan getah, penutup dan bahagian lain dikeringkan sepenuhnya sebelum periuk dipasang semula.

6. Elakkan bahan pencuci kasar. Jangan menggosok terlalu kuat atau menggunakan bahan pencuci boleh merosakkan getah pengedap atau permukaan periuk.
7. Periksa getah secara berkala. Gantikan getah jika sudah retak, keras, longgar, meregang atau mengalami kerosakan.
8. Ikut arahan pengeluar. Kaedah pembersihan dan tempoh penggantian getah mungkin berbeza mengikut model periuk tekanan.
9. Jangan simpan ketika masih basah. Pastikan periuk dan penutup benar-benar kering sebelum disimpan bagi mengurangkan bau kurang menyenangkan dan pengumpulan sisa.
10. Jangan lupa pemegang dan bahagian luar. Lap bahagian ini secara berkala, terutama di sekitar sambungan dan celah mudah terkena percikan makanan.