Sayur berdaun dah layu jangan terus buang, ini tip segarkan semula dalam 15 minit
SELEPAS beberapa hari disimpan dalam peti ais, sayur berdaun seperti bayam, sawi atau kangkung mula kelihatan kecut dan tidak lagi segar seperti ketika mula dibeli.
Bagaimanapun, jangan terburu-buru untuk membuangnya kerana ada cara untuk membantu mengembalikan kesegaran sayur berkenaan.
Perkongsian seorang wanita di Threads menarik perhatian apabila dia berkongsi tip ringkas untuk menjadikan sayur berdaun yang sudah layu kembali segar.
Menurutnya, sayur hanya perlu direndam seketika di dalam air sejuk selama kira-kira 15 minit.
"Tip mudah nak bagi apa sahaja sayur berdaun yang dah kecut jadi segar balik ialah rendam sekejap dalam air sejuk sekitar 15 minit, nanti sayur akan nampak fresh dan rangup semula! InsyaAllah," tulisnya.
Selepas sayur kembali segar, ia boleh dibasuh dan ditos sebelum dimasak mengikut cita rasa.

Menurut wanita itu, bayam merupakan antara sayuran yang digemari dan cara paling mudah untuk menikmatinya adalah dengan cara mencelur.
Katanya, kaedah itu bukan sahaja mudah malah cukup menyelerakan sehingga dia mengakui boleh menikmatinya setiap hari.
Menjawab persoalan seorang individu mengenai cara mencelur bayam, sama ada perlu menggunakan garam atau tidak, wanita itu turut berkongsi caranya.
MENARIK DIBACA: Ada sebab orang dulu-dulu tak guna sabun cuci lesung batu, cuma jirus air panas
MENARIK DIBACA: Detik cemas di dapur! Bilah 'chopper' patah, terpelanting - "Sikit lagi nak kena mata"
"Letak awak. Letak garam sikit dalam air bila dah mendidih, masukkan bayam dalam lima minit," jawabnya.
Tip tersebut boleh menjadi alternatif buat mereka yang sering berdepan situasi sayur sayuran di rumah mula layu sebelum sempat dimasak.
Selain membantu mengurangkan pembaziran, cara ini juga tidak memerlukan bahan atau langkah yang rumit.
Jadi, kalau nampak sayur berdaun di dalam peti ais sudah mula kecut, jangan terus buang.
Cuba rendam seketika dalam air sejuk!