Ramai periksa insang, isi... Pakar mata kongsi cara mudah kesan ikan segar melalui mata
KALAU beli ikan di pasar, kebanyakan pengguna akan memeriksa insang, bau dan keadaan isi sebelum membuat pilihan.
Seorang pakar mata berkongsi satu lagi cara mudah boleh dijadikan petunjuk awal bagi menilai kesegaran ikan, iaitu dengan melihat matanya terlebih dahulu.
Menerusi hantaran di Threads, doktor berkenaan berkata tabiat memeriksa mata ikan sudah menjadi tindakan automatik buat dirinya setiap kali membeli ikan di pasar.
“Doktor mata pergi pasar pun tengok mata dulu. Kalau nak beli ikan, saya memang automatik tengok mata ikan dulu.

“Sebenarnya mata ikan boleh beri ‘clue’ awal tentang kesegarannya,” kongsinya di Threads.
Menurutnya, ikan masih segar biasanya mempunyai mata jernih, berkilat dan sedikit menonjol.
Jelasnya, keadaan mata ikan akan berubah selepas mati kerana fungsi normal kornea turut terhenti.
Perubahan pada kandungan air serta struktur tisu menyebabkan kornea menjadi semakin keruh.
MENARIK DIBACA: Rider 'kantoi' curi makanan pelanggan, tampil mohon maaf lepas rakaman CCTV tersebar
MENARIK DIBACA: Hantar makanan di rumah orang lain, rider hati kering tak mengaku buat silap!
"Konsep ini sama dengan mata manusia dan menjadi antara sebab proses pendermaan organ kornea tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
"Semakin lama proses kemerosotan berlaku, mata ikan juga boleh kelihatan lebih kusam dan tenggelam.
"Sebab itu, bahagian mata boleh menjadi antara perkara awal diperhatikan ketika memilih ikan di pasar," kongsinya lagi.
Bagaimanapun, pakar tersebut mengingatkan orang ramai supaya tidak menilai kesegaran ikan berdasarkan keadaan mata semata-mata.

Sebaliknya, beberapa ciri lain turut perlu diperiksa sebelum membuat pembelian.
“Jangan menilai ikan melalui mata saja. Tengoklah insang, masih segar kemerahan atau tidak, kemudian bau elok ke dan isi ikan lembik atau sebaliknya.
"Insang yang masih kelihatan segar serta kemerahan, bau yang tidak mencurigakan dan isi yang masih pejal boleh menjadi antara petunjuk tambahan ketika memilih ikan.
"Jadi, lain kali ketika berada di pasar, jangan lupa perhatikan mata ikan sebelum memasukkannya ke dalam bakul," katanya.